PETALING JAYA: Proklamasi darurat wajar dilanjutkan di Sarawak untuk tempoh beberapa bulan, memandangkan sekarang bukan waktu yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, beliau menghormati keputusan kerajaan untuk menamatkan darurat pada 21 Julai lalu, tetapi darurat wajar dilanjutkan di Sarawak dengan mengambil kira bilangan semasa kes Covid-19, kadar vaksinasi dan keutamaan negara ketika ini.
“Soal kesihatan ketika ini amat penting dan melangkaui proses demokrasi, jika imuniti kelompok belum dicapai, ia mendedahkan bahaya kepada rakyat untuk mengadakan PRN. Kita tidak mahu penularan kes berulang seperti PRN Sabah, jika imuniti kelompok belum dicapai, PRN boleh ditangguhkan menerusi lanjutan darurat beberapa bulan, mungkin sehingga Disember.
“Perkara ini perlu disemak dengan Kementerian Kesihatan, adakah keadaan mengizinkan untuk satu urusan besar mengadakan PRN. Kalau tak boleh adakan, darurat perlu dilanjutkan, hanya darurat boleh mengizinkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan PRN. Terserah kepada Agong tetapi baginda boleh buat keputusan bagi negeri Sarawak untuk lanjutkan darurat di negeri itu,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung status PRN.
Ini selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hasan mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak menasihati Agong untuk menyambung proklamasi darurat sebaik sahaja tamat pada 1 Ogos ini.
Namun, jika darurat tetap tidak dilanjutkan di negeri Sarawak, Wan Ahmad menyarankan kepada SPR supaya melarang kempen secara fizikal dan melarang mana-mana pihak daripada merentas sempadan semasa PRN diadakan.
“Dua kesilapan semasa PRN Sabah iaitu membenarkan kempen secara terbuka dan rentas sempadan dari Semenanjung. Saya syorkan supaya rapat umum, ceramah terbuka, kempen rumah ke rumah mesti dilarang sama sekali.
“Walaupun imuniti kelompok sudah dicapai nanti, kebenaran rentas sempadan perlu diteliti, kalau tidak akan ada kluster rumah panjang. Undang-undang tidak menyebut kempen perlu diadakan secara terbuka, jadi lebih baik semua pihak mengadakan kempen secara digital, mengikut kesesuaian semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE










