Krisis keyakinan terhadap kerajaan sudah parah - Utusan Malaysia

Krisis keyakinan terhadap kerajaan sudah parah

SHAHRIR ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gesaan UMNO agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berundur daripada jawatannya adalah kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan krisis keyakinan yang amat teruk.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tidak ada cara lain lagi untuk mengatasi krisis keyakinan yang sebenarnya sudah sampai ke tahap menjejaskan negara dari segi ekonomi.

Menurut bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, keputusan separuh masak dan ‘flip-flop’ sahaja sudah cukup untuk menggambarkan antara faktor mengapa rakyat sendiri sudah tidak meyakini kecekapan kerajaan bagi mengatasi masalah yang berkaitan dengan pandemik.

Beliau berkata, krisis itu sememangnya bermula dengan faktor kesihatan iaitu Covid-19 sejak awal tahun lalu tetapi disebabkan tidak diurus dengan baik, krisis itu secara perlahan-lahan berlanjutan kepada krisis ekonomi dan kini memasuki fasa krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri.

“Saya tidak mahu mengambil contoh yang terdahulu, lihat sahaja mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), sudah diumumkan beberapa minggu tiba-tiba sahaja baru dilantik Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras kepada pelan itu.

“Kenapa tidak wujud pelan yang betul-betul munasabah dan bukan separuh masak sebelum dibentang yang seolah-olah awalnya tak diambil kira pun faktor ekonomi, jika begini macam mana orang nak letak keyakinan?

“Permintaan UMNO mudah sahaja iaitu digantikan Perdana Menteri serta-merta, kumpulan dalam PN termasuk UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh cari alternatif kepada jawatan Perdana Menteri,” katanya di sini semalam.

Shahrir berkata, PPN juga sebenarnya tidak memberi gambaran yang menunjukkan pengurusan negara sehingga kembali pulih terutamanya dalam aspek ekonomi yang menjadi faktor terpenting menuju pemulihan.

“Saya rasa bukan hanya perlu pulih keadaan masyarakat dari segi kesihatan tetapi keyakinan, semangat mesti juga bergerak seiring dan bukan hanya ekonomi swasta, kerajaan pun kena buat perbelanjaan fiskal pada negeri yang dah masuk fasa dua yang boleh dibelanjakan untuk membantu ekonomi, maka barulah pulih ekonominya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, mereka yang kini berada di kerusi empuk sudah pasti akan menafikan perkara berkaitan keyakinan rakyat terhadap kerajaan sehinggakan ada pemimpin yang kurang senang dengan tindakan ‘bendera putih’. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN