KOTA KINABALU: Bantuan bakul makanan kepada golongan sasar di kawasan Parlimen Putatan tidak perlu merujuk kepada kibarkan bendera putih semata-mata.
Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari berkata, bantuan bakul makanan yang diberikan sebelum ini masih diteruskan dan agihan itu dilakukan berdasarkan data yang diperoleh melalui pejabat Parlimen.
“Saya tidak setuju sangat dengan bendera putih kerana tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan. Tapi, ia masih boleh dijadikan indikasi untuk memantau keadaan keluarga yang memerlukan.
“Bagaimanapun, saya memilih untuk memberikan bakul makanan mengikut data yang ada kerana data tidak boleh menipu, menaikkan bendera masih boleh menipu.
“Kita perlu memberi keutamaan kepada golongan yang betul-betul terkesan seperti ibu tunggal yang mempunyai tanggungan dan mereka yang dibuang kerja dan terputus sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun katanya, setakat ini beliau belum melihat ada bendera putih yang dinaikkan di kawasannya. Hanya ada satu gambar yang ditularkan melalui Whatsapp tapi belum dapat dipastikan jika rumah itu betul-betul berada di Putatan.
Tambah beliau, sekiranya ada rumah yang menaikkan bendera, mereka akan melakukan pemantauan terlebih dahulu bagi memastikan individu tersebut berada dalam kelompok kumpulan sasar.
Awang Husaini, yang juga Naib Ketua PKR Sabah ini berkata, setakat ini peruntukan bantuan bakul makanan dibawah Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) masih belum diterima.
Namun, beliau masih meneruskan agihan bakul makanan menggunakan dana sendiri seperti yang dilakukan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.- UTUSAN ONLINE