PUTRAJAYA: Keupayaan sistem kesihatan melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Labuan boleh lumpuh sekiranya peningkatan kes harian baharu Covid-19 di negeri terbabit terus berlaku melangkaui kapasiti maksimum hospital sedia ada.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya merekodkan tiga negeri dan satu wilayah itu menunjukkan peningkatan lebih 38 kes baharu bagi setiap 100,000 penduduk dengan kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini.
Katanya, kes harian tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan dan diburukkan lagi, petugas barisan hadapan (perubatan dan kesihatan) mengalami gejala burnout kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes Covid-19 untuk tempoh yang kian berlarutan.
“Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan tiga negeri dan Labuan akan lumpuh hingga boleh menyebabkan situasi yang sama berlaku kepada negara.
“Apa yang lebih membimbangkan, trend kemasukan kes ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih pada tahap tinggi dan tidak menunjukkan penurunan ketara sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 hingga 12 Jun) hingga kini dengan jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, purata kes harian selama tujuh hari bermula 30 Jun sehingga semalam, sebanyak 6,539 kes serta masih tinggi berbanding nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk.
“Nilai ambang 4,000 kes harian baharu ini ditetapkan berdasarkan kapasiti hospital menghadapi situasi luar jangka, kadar kemasukan kes ke wad dan kadar discaj kes semasa.
“Negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk adalah Labuan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Putrajaya, Sarawak dan Pahang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya sudah melaksanakan langkah sewajarnya iaitu penukaran beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai Full Covid-19 Hospital serta meningkatkan lagi kapasiti katil Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori empat dan lima.
“Memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisma penyumberan luar, mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes Covid-19 dan menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19.
“Selain itu, menambah kapasiti katil-katil bagi menempatkan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Awam selain cadangan menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai hospital Covid-19,” katanya.
Tambahnya, kerajaan bekerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 di katil wad biasa dan di katil ICU serta menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian fasiliti kesihatan swasta.
“Langkah lain ialah memobilisasikan lebih ramai petugas kesihatan dari negeri-negeri PPN Fasa 2 ke negeri-negeri kritikal bagi rawatan pesakit, mobilisasi anggota dari hospital swasta dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam aktiviti mengawal wabak Covid-19 dan vaksinasi,” katanya.- UTUSAN ONLINE










