Kes Covid-19 tinggi kerana saringan PKPD bersasar - Utusan Malaysia

Kes Covid-19 tinggi kerana saringan PKPD bersasar

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kes jangkitan Covid-19 di Selangor diyakini menunjukkan penurunan seawal minggu ketiga bulan ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan pada 3 Julai lalu.

Malah, peningkatan kes harian tinggi di Selangor sejak beberapa kebelakangan ini disumbang oleh usaha pengesanan dan saringan kontak rapat dekat kawasan PKPD bersasar bagi mencapai matlamat memutuskan rantaian Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu, beliau tidak melihat masalah itu dari sisi negatif, sebaliknya optimis dengan usaha berkenaan akan memperlihatkan hasil sejajar dengan unjuran dibuat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini.

“Kesan PKPD kita akan dapat lihat pada minggu ketiga dan keempat, ini memang data yang sebelum ini menunjukkan selepas tempoh itu kemungkinan baharu kita nampak kesan penurunan yang signifikan.

“Ataupun selepas minggu ketiga kita dapat melihat kesan kes-kes tinggi di Selangor seperti mana disebut oleh Noor Hisham serta pakar lain dan kita lihat (lonjakan) adalah datang daripada pelaksanaan PKPD dan itu juga mempunyai saringan kontak rapat yang mencecah sampai 1,000 di Petaling dan 1,600 di beberapa daerah lain.

“Jadi kalau angka-angka itu dibuang maknanya kita dalam sekitar 2,000 kes, maknanya pelaksanaan PKPD yang bersasar yang kita buat sedikit sebanyak menyebabkan kes meningkat naik,” katanya.

Sebelum ini, selama dua hari berturut-turut Selangor mencatatkan angka baharu jangkitan Covid-19 melebihi 5,000 kes sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah keseluruhan negara iaitu lebih 11,000 sejak kelmarin.

Sementara kes kematian direkodkan di negeri itu pula adalah berjumlah 2,166 orang iaitu bertambah sebanyak 46 kes semalam berbanding 57 kes sebelum ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan penganjuran pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara mega seperti di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini masih praktikal walaupun terdapat kes positif sebelum ini sehingga menyebabkannya ditutup.

Namun, beliau memaklumkan pihak kerajaan pusat dan negeri mempunyai langkah wajar untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan petugas dan orang ramai yang datang untuk mendapatkan vaksin.

“PPV mega itu masih lagi praktikal untuk dilakukan kerana ia akan menjimatkan dari segi kos sumber manusia yang agak terhad dan kita sedikit sebanyak telah mengerah hampir keseluruhan (petugas) sama ada daripada pengamal perubatan swasta dan juga JKNS melalui doktor dan pegawai perubatan di hospital dan klinik awam.

“Kita hendak pastikan segala keperluan awal contohnya semua pegawai, sukarelawan harus menerima vaksin terlebih dahulu sebab kalau tidak mereka yang terdedah lebih awal.

“Masyarakat pula perlu jujur dalam hal ini sekiranya mereka dalam proses pemantauan selepas saringan dan didapati positif sebagai contoh. Elakkan hadir ke PPV kerana akan menyebabkan perkara yang lebih sukar seperti penutupan PPV menyebabkan keupayaan kita terjejas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN