Kerajaan negeri peruntuk RM5 juta bantu mangsa ribut di Tanjung Sedili - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri peruntuk RM5 juta bantu mangsa ribut di Tanjung Sedili

HASNI Mohammad (dua dari kanan) bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa bencana ribut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili, di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerajaan negeri memperuntukkan sehingga RM5 juta bagi membantu mangsa yang terjejas teruk akibat kejadian ribut yang berlaku di beberapa buah kampung di Tanjung Sedili, di sini petang semalam.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, menerusi jumlah itu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM5,000 hingga RM15,000 untuk setiap keluarga berdasarkan kerosakan harta benda termasuk rumah. 

Katanya dalam kejadian melibatkan 291 mangsa dari tujuh buah kampung itu, pelbagai bentuk bantuan disediakan dan digerakkan dan sebagai permulaan setiap keluarga akan menerima bantuan wang tunai RM1,000.

Malah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai bagi meringankan beban mangsa.

“Selain bantuan makanan, penyediaan tempat tinggal sementara turut diatur kerana kita tahu dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini mungkin mengambil masa yang panjang untuk membaiki rumah-rumah terjejas. 

“Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah akan kenal pasti tempat tinggal sementara sama ada di inap desa atau tempat yang boleh mereka diletakkan sementara tunggu rumah mereka dibaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa bencana ribut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari dan ADUN Sedili, Rasman Ithnain. 

Hasni berkata, peruntukan berkenaan bagi membantu kesemua mangsa di mana ada di antara rumah yang musnah teruk dan perlu dibina semula.

Tambah beliau, pihak berkaitan juga sedang membuat penilaian anggaran kerugian keseluruhan ditanggung ekoran bencana itu yang turut menyebabkan bangunan kerajaan seperti sekolah, balai polis dan klinik kesihatan terjejas.

Terdahulu hujan lebat selama lebih dua jam bermula kira-kira pukul 3 petang disusuli ribut dan angin kencang menyebabkan 291 buah rumah dan beberapa bangunan kerajaan mengalami kerosakan.

Antara kampung terjejas adalah Kampung Sri Gading, Kampung Teluk Jeri, Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Taman Sedili dan Kampung Tanah Putih.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN