KOTA KINABALU: Ketepikan perbezaan politik untuk membolehkan isu-isu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 disuarakan dalam persidangan Parlimen akan datang.
Itu antara keutamaan yang akan diberikan oleh ahli-ahli Parlimen dari Sabah sempena persidangan Parlimen akan datang.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, isu bekalan vaksin dan pemulihan ekonomi adalah perkara utama yang perlu dibangkitkan semasa persidangan Parlimen.
Jika diperhatikan, Sabah memerlukan lebih banyak bekalan vaksin bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negeri ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) ini berkata, proses vaksinasi yang pantas akan membolehkan Sabah beralih kepada Fasa3 dan seterusnya Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Selain itu, saya sendiri akan mengemukakan cadangan-cadangan untuk membantu memulihkan ekonomi terutama bagi peniaga kecil di bandar dan luar bandar yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketua Srikandi Bersatu Sabah ini berkata, beliau juga mencadangkan supaya negara bersiap sedia dalam pelbagai aspek termasuk perlu ada keupayaan untuk menghasilkan vaksin bagi menghadapi sebarang pandemik yang sama pada masa akan datang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, ordinan darurat yang tidak jelas, peruntukan bantuan bakul makanan serta program vaksinasi antara isu yang akan dibentangkan apabila Parlimen mula bersidang.
Bekalan vaksin perlu dipercepatkan bagi membolehkan imuniti berkelompok segera dicapai dan seterusnya membolehkan sektor-sektor ekonomi dibuka bagi melangkah ke arah pemulihan pasca Covid-19.
“Pada masa sekarang ramai rakyat yang menghadapi kesempitan hidup akibat dibuang kerja, dipotong gaji dan kehabisan makanan. Golongan yang terkesan sebegini yang perlu dibantu,” katanya.
Ahmad, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, beberapa perkara dalam Ordinan Darurat juga perlu dibahaskan supaya peruntukan undang-undang di dalam ordinan tersebut lebih terang dan jelas.- UTUSAN ONLINE










