Kawalan ketat elak PKPD di Kuala Perlis - Utusan Malaysia

Kawalan ketat elak PKPD di Kuala Perlis

WARI KIEW (dua dari kiri ) memeriksa kenderaan yang masuk ke Kuala Perlis semasa meninjau SJR Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis berhampiran lampu isyarat Kampung Telok di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis mengawal pergerakan keluar masuk ke Kuala Perlis berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, penguatkuasaan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan kes yang boleh membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Perlis.

Katanya, pada masa ini, penduduk masih boleh keluar masuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun sekiranya PKPD dilaksanakan nanti semua laluan masuk akan ditutup sepenuhnya.

“Terdapat tiga laluan masuk ke Kuala Perlis iaitu melalui di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis yang ditempatkan Sekatan Jalan Raya (SJR) manakala Jalan Datuk Ali di Kampung Tok Kuning pula ditutup sepenuhnya dengan penghadang jalan dibuat lencongan ke lebuh raya tersebut.

“Sementara itu, satu lagi jalan di Kampung Sungai Baru pula kami tempatkan pasukan ’snap check’ untuk membuat pemantauan di sana. Kawalan di peringkat awal ini, kami jangka akan dibuat selama seminggu dan jika kes terkawal ia akan dihentikan, namun, jika trend kes meningkat, maka, kita akan teruskan.

“Tujuan kita mengawal situasi di Kuala Perlis adalah bagi mengelak daripada dilaksanakan PKPD yang seterusnya akan menyusahkan penduduk sendiri,” katanya ketika ditemui semasa melawat SJR di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis berhampiran lampu isyarat Kampung Telok di sini hari ini.

Sehingga semalam, Jabatan Kesihatan negeri melaporkan sebanyak 48 kes Covid-19 tempatan yang aktif di Perlis dengan 24 daripadanya adalah dari Kuala Perlis.

Tambah Wari, Kuala Perlis meliputi kawasan seluas 24 kilometer persegi yang mana sepanjang kawalan keluar masuk itu diletakkan pasukan pemantauan bagi memastikan pematuhan SOP.

“Apa yang baiknya dekat sini, tidak ada lorong tikus. Jadi, orang ramai yang keluar masuk melalui SJR.

“Terdapat 50 anggota yang bertugas di kawasan tersebut termasuk di SJR yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 11 malam, selain pasukan pemantauan dan pasukan ’snap check’,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.