GEORGETOWN: Ahli Parlimen diingatkan supaya memanfaatkan sidang Parlimen untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat, bukannya sebagai medan perbalahan.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, ahli Parlimen harus berasa bersalah dan insaf atas tindakan mereka di dalam Dewan Rakyat semalam yang dilihat membuang masa tanpa membincangkan perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.
“Saya harap pemimpin kita bukan yang hanya tahu bertelingkah dengan mana-mana pihak yang mengutarakan kenyataan dan pandangan mereka.
“Mereka harus saling hormat-menghormati, bukan bertengkar antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Tong Keong, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mempercepatkan sidang Parlimen seperti yang diminta pembangkang supaya kedua-dua pihak boleh berbincang dengan mendalam mengenai langkah pencegahan penularan Covid-19.
“Semua Ahli Parlimen seharusnya memberi cadangan atau pandangan yang konstruktif.
“Pembangkang juga tidak membangkitkan isu yang dihadapi rakyat di kawasan mereka, tetapi menimbulkan kekecohan dan ini amat mengecewakan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu katanya, semua ahli Parlimen perlu memahami bahawa rakyat kini hidup dalam kesempitan susulan daripada penularan Covid-19.
“Rakyat kehilangan pekerjaan dan pendapatan, mereka terpaksa mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan.
“Maka, para ahli Parlimen harus membangkitkan masalah yang dihadapi rakyat di dalam Dewan Rakyat dan menggesa kerajaan menghulurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat jelata, bukannya sengaja mencari kesalahan orang lain,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya berharap ahli Parlimen dapat menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat dengan baik di mesyuarat yang akan datang. – UTUSAN ONLINE










