PETALING JAYA : Bantuan bakul makanan RM300,000 kepada semua ahli Parlimen perlu diperluas termasuk dalam bentuk wang tunai dengan tidak dihadkan kepada bekalan makanan sahaja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, masalah dihadapi rakyat di kawasan masing-masing adalah tidak sama dan situasi masa kini adalah lebih teruk berbanding ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Ujarnya, mereka memerlukan bantuan duit untuk jangka panjang berbanding bakul makanan yang boleh bertahan seminggu hingga dua minggu sahaja.
“Misalnya di penduduk kawasan saya bukan sahaja memerlukan makanan sahaja tetapi ada juga mahu duit kerana tidak mampu bayar sewa rumah, dikejar ah long dan tiada duit untuk sambung pengajian.
“Namun kita berterima kasih kepada kerajaan terhadap usaha ini tetapi ia diperluas dan tidak terhad kepada bakul makanan sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan bantuan bakul makanan berjumlah RM300,000 kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa peruntukan itu disalurkan terus kepada pejabat ahli Parlimen dan bukannya melalui agensi tertentu sehingga disalah guna pihak tertentu.
Beliau berkata, kerajaan pernah memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen termasuk pembangkang sewaktu PKP sebelum ini namun perkara itu tidak berlaku.
“Sepatutnya diberikan kepada ahli Parlimen tetapi apa yang terjadi diberikan kepada parti politik tertentu untuk diagihkan. Apa guna kami sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat.
“Justeru itu mekanisme pengagihan kena tambah baik dengan direct terus kepada pejabat ahli Parlimen dan bukannya melalui pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN ONLINE