SEREMBAN: Golongan bukan Islam dan warga asing merupakan antara mereka yang menerima bantuan makanan dan keperluan yang disumbangkan Masjid Al-Azim, Taman Semarak, Nilai.
Salah seorang penerima, M. Vira, 70, berkata, dia pertama kali mengambil bantuan makanan di masjid tersebut dan terharu kerana pihak pengurusan memahami masalah yang dihadapi oleh penduduk tanpa mengira kaum dan agama yang terkesan disebabkan pendemik Covid-19.
“Saya bersama jiran antara yang telah disenaraikan sebagai antara penerima bantuan yang menetap berdekatan kawasan masjid ini. Saya sangat gembira dengan bantuan ini dan berterima kasih kepada pihak masjid yang memahami masalah dialami penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Bagi Nikmah Samsudin, 49, dari Jawa Timur, Indonesia, dia sudah 10 tahun menetap di negara ini dan kini menyewa sebuah rumah bersama dua lagi rakan senegara yang bekerja di sebuah kilang dengan gaji harian sebanyak RM57.
“Sejak sebulan lalu saya sudah tidak bekerja kerana kilang tidak beroperasi. Kami serumah memang tiada pendapatan dan terpaksa mencatu makanan bagi memastikan tidak terputus bekalan makanan serta dapat membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan.
“Saya bersyukur terima bantuan dari masjid ini kerana ada masanya saya serta dua rakan serumah berkongsi makan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Azim, Md. Fakarudin Ab. Rahman berkata, menjadi tanggungjawab pihak masjid untuk menjaga kebajikan penduduk terutamanya ahli kariah masjid berkenaan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan warganegara asing.
Ujarnya, golongan berkenaan juga sebelum ini banyak memberi sumbangan kepada masjid dalam bentuk sedekah kepada masjid.
“Sumbangan inilah yang kami kembalikan semula kepada golongan yang terkesan termasuklah bukan Islam sejak dua minggu lalu bagi memastikan mereka ini tidak terputus bekalan makanan dan dalam masa yang sama mengimarahkan lagi fungsi masjid.
“Pada hari ini, masjid menyalurkan sumbangan makanan harian kepada 40 individu bukan Islam, 30 individu bukan warganegara dan 100 bantuan secara pandu lalu kepada penduduk lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE