SUNGAI SIPUT: Ekoran perniagaan makanan terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Jun lalu, dua beradik mengambil inisiatif menjual durian goreng RM1 seulas.
Nor Faizatul Shawani Abu Bakar, 31, dan adiknya Nor Farhana Fatihah, 24, yang mengusaha kedai makan di Arked Mara di sini berkata, pada awalnya mereka menjual pisang goreng selepas perniagaan makanan kurang pelanggan disebabkan PKP malah pernah memperoleh RM15 sehari.
Nor Farhana berkata, mereka kemudiannya mendapat idea untuk menjual durian goreng memandangkan sekarang merupakan musim raja buah tersebut.
“Hari pertama kami jual pisang goreng, kemudian esoknya kami terus jual durian goreng dan tak sangka mendapat sambutan hingga menjadi tular.
“Jika sebelum ini kami jual 100 ulas durian goreng sehari, kini lebih 300 ulas terjual setiap hari selepas ia menjadi tular,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Nor Farhana, dia dan kakaknya tidak menjangka percubaan mereka membuahkan hasil dan benar-benar membantu untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas terkesan dengan PKP 3.0.
Anak kelahiran Kampung Durian Mas Manir, Kuala Terengganu ini berkata, pada mulanya dia dan kakaknya khuatir durian goreng yang dijual mereka tidak mendapat sambutan kerana harganya RM1 seulas.
“Kami takut orang tak beli sebab RM1 seulas tapi apabila sudah jual, pelanggan kata durian goreng kami murah dan sedap.
“Alhamdulillah sebab kami pun ambil durian daripada peraih dan bukan durian sendiri sebab kami merantau dari Terengganu ke Perak untuk mencari rezeki,” katanya.
Katanya, mereka menggunakan durian kampung serta resipi bancuhan tepung daripada ibunya untuk menghasilkan durian goreng yang dijual kepada pelanggan.
Nor Farhana berkata, gerai durian dan pisang goreng mereka dibuka bermula pukul 2 petang dan ditutup pada pukul 5 petang.
“Tetapi sekarang kami terpaksa tutup lewat hingga pukul 7 petang sebab orang ramai sanggup beratur untuk mendapatkan durian goreng.
“Ada yang beli sampai 20 ke 30 ulas seorang dan mereka cakap durian goreng ini unik susah nak cari di samping rasanya yang lemak manis apabila disalut tepung,” katanya. – UTUSAN ONLINE










