KUANTAN: Seorang pengusaha perkhidmatan perkahwinan di sini hilang punca pendapatan antara RM15,000 ke RM20,000 sebulan kerana sektor itu tidak boleh beroperasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Ujies Collection Event & Wedding, Norazam Arifin berkata, sejak PKP dilaksanakan, kira-kira 30 pakej perkahwinan terpaksa ditangguhkan dan tiga dibatalkan pelanggan.
“Pakej yang saya sediakan bermula dari RM2,000 dan ke atas. Sebelum PKP, ada pelanggan telah membayar wang pendahuluan RM24,000 untuk majlisnya, tetapi akibat PKP, ia terpaksa ditangguhkan sehingga kini.
“Ada yang sudah berkahwin dan melahirkan anak tetapi majlis masih tidak boleh diadakan.
“Tetapi mereka tetap mahu mengadakan majlis perkahwinan selepas dibenarkan oleh kerajaan kerana menerusi perjanjian, wang pendahuluan yang dibayar sebelum ini tidak boleh dipulangkan,” katanya di sini semalam.
Norazam yang 20 tahun terlibat dalam perniagaan itu berkata, sejak PKP dilaksanakan, kos operasi perniagaan seperti sewa kedai, bil air dan elektrik tetap perlu dibayar kira-kira RM5,000 sebulan.
“Jika berterusan lagi, saya tidak tahu lagi bagaimana hendak bayar kos itu, sehingga kini duit hanya banyak keluar daripada masuk.
“Barang perkahwinan seperti baju banyak di dua kedai yang disewa, kalau hendak pindah mana hendak letak barang tersebut?, hendak jual pun tiada orang hendak beli ketika ini, jadi memang tidak boleh buat apa, kena bertahanlah,” katanya.
Beliau yang juga bendahari Persatuan Industri Perkhidmatan Perkahwinan Negeri Pahang (PIPPNP) berkata, bukan sahaja perniagaannya, malah kira-kira 50 ahli persatuan tersebut kini cukup terjejas terutama dari segi kewangan. – UTUSAN ONLINE










