'Guan Eng datang rumah awal pagi' - Utusan Malaysia

‘Guan Eng datang rumah awal pagi’

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa pernah bertemu dengan seorang lelaki bernama G. Gnanaraja pada awal pagi di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor.

Saksi pertama pendakwaan, Datuk K. Geethanjali Gausilla memaklumkan, Guan Eng ke rumahnya untuk berbincang perkara sulit dengan Gnanaraja yang merupakan suaminya.

Namun ahli perniagaan itu berkata, dia tidak mengambil tahu maklumat yang dibincangkan oleh suaminya dengan Guan Eng.

“Selepas mengambil gambar bersama Guan Eng, lebih kurang 30 minit selepas itu, suami meminta saya dan ibu beredar kerana beliau perlu berbincang perkara sulit dengan Guan Eng dan seorang individu bernama Datuk Zarul.

“Saya mengikut arahan suami dan kemudian saya dan ibu beredar ke bilik semula untuk sambung tidur. Saya sahkan selepas itu saya tidak mengambil tahu apa-apa maklumat dibincangkan oleh suami dengan Guan Eng pada malam itu.

“Suami saya tidak pernah berkongsi apa-apa maklumat berkaitannya dan Guan Eng,” katanya dalam pernyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi di sini semalam.

Terdahulu, wanita itu memberitahu, dia sebelum itu dikejutkan oleh Gnanaraja pada pukul 2 pagi yang memaklumkan seorang tetamu iaitu Guan Eng telah tiba di rumahnya.

“Guan Eng hanya datang sekali ke rumah. Saya bukan peminat dan penyokong beliau,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Dalam pada itu, Geethanjali mengakui pernah berjumpa dengan ahli-ahli politik dan kebiasaannya berlangsung di pejabatnya.

“Saya rasa tak pernah ahli politik datang ke rumah sebelum ini,” katanya ketika soal balas oleh peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo.

Guan Eng, 60, didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN