fbpx

Gleneagles taja media Johor buat ujian saringan percuma

DR. Kamal Amzan (tiga dari kiri) menyumbangkan keperluan asas kepada Kelab Media Johor yang disampaikan kepada Mohamad Fauzi Ishak (empat dari kanan) bersama sebahagian ahli di Hospital Gleneagles Medini, Iskandar Puteri di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Menyedari peranan petugas media yang saban hari merisikokan diri membuat liputan bagi menyampaikan maklumat terutamanya perkembangan Covid-19, sebuah pusat perubatan swasta tampil menghulurkan tangan untuk menghargai kumpulan itu.

Ia berikutan, Hospital Gleneagles Medini di Nusajaya, di sini menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 (RT-PCR) secara percuma mengikut keperluan semasa kepada pengamal media di Johor dengan kerjasama Kelab Media Johor (KMJ).

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Medini, Dr. Kamal Amzan berkata, peruntukan khas itu disediakan pihaknya selepas melihat kepada jumlah kes positif harian yang meningkat sejak kebelakangan ini yang turut mendatangkan risiko kepada pengamal media.

“Kita faham tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh semua pengamal media yang juga adalah golongan barisan hadapan membuatkan risiko mereka dijangkiti lebih tinggi. Justeru itu kami ingin memastikan mereka mampu bekerja dengan selamat dan untuk melindungi ahli keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada ahli KMJ berbentuk barangan makanan dan alat perlindungan diri yang diwakili Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak.

Sementara itu, Hospital Gleneagles Medini juga telah dilantik untuk membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Gelang Patah yang akan mula beroperasi pada 19 Julai ini dengan kadar pemberian dianggarkan sehingga 1,500 orang sehari.


“Pusat vaksinasi itu akan beroperasi di Dewan Taman Nusantara, Gelang Patah bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang. Seramai 20 petugas perubatan yang terdiri daripada doktor dan jururawat dari hospital ini akan bertugas bagi membuat vaksinasi kepada penerima,” kata Dr. Kamal.

Menurut beliau, anggota sukarela juga akan membantu melancarkan proses vaksinasi berkenaan sambil sokongan daripada beberapa hospital dan klinik swasta yang lain.- UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI