PUTRAJAYA: Kesatuan Eropah (EU) terus kekal melarang kemasukan rakyat Malaysia ke mana-mana 31 buah negara di benua tersebut tanpa ada visa.
Sebaliknya, 11 buah negara lain yang sebelum itu juga tiada dalam senarai bebas visa blok tersebut, namun, mula dimasukkan kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan negara yang dibenarkan kepada 24 buah.
Namun Malaysia tidak termasuk dalam senarai 24 buah negara itu.
Menurut laporan yang disiarkan menerusi portal rasmi SchengenVisaInfo.com, kesemua negara terlibat diiktiraf sebagai selamat daripada sudut epidemiologi risiko jangkitan wabak Covid-19.
Ini membolehkan rakyatnya boleh masuk tanpa visa meliputi Arab Saudi, Armenia, Azerbaijan, Bosnia dan Herzegovina, Brunei, Jordan, Kanada, Kosovo, Moldova, Montenegro dan Qatar.
Keputusan tersebut dibuat dalam satu mesyuarat yang melibatkan kesemua duta EU dari seluruh dunia pada setiap dua minggu sebelum dimuktamadkan oleh Majlis EU pada 1 Julai lalu.
Pada pertengahan bulan lepas, EU sudah menyenaraikan Amerika Syarikat, Albania, Lubnan, Macedonia Utara, Serbia, Taiwan serta dua wilayah khas China iaitu Hong Kong dan Macau.
Semakan mendapati antara negara yang konsisten kekal dalam senarai khas berkenaan sebelum ini ialah Australia, Israel, Korea Selatan, New Zealand, Rwanda, Singapura dan Thailand.
Sementara Malaysia langsung tidak pernah pun dimasukkan dalam senarai tersebut sejak dua tahun lepas lagi setelah EU mengambil kira pelbagai faktor semasa untuk penelitian lanjut.
Turut dikenakan visa kemasukan ke negara-negara anggota EU dan rantau Schengen ialah Britain dan ramai penganalisis geopolitik global mendakwa perkara itu sudah dijangka awal.
Langkah balas itu ekoran tindakan negara berkenaan muncul sebagai anggota pertama keluar dari EU selepas 47 tahun menyertai blok tersebut hasil referendum rakyatnya pada 2016.
Senarai dikeluarkan itu boleh berubah pada setiap bulan bergantung kepada hasil penilaian Dasar Luar EU dan laporan pemantauan daripada duta blok tersebut di negara yang terbabit.
Zon bebas pasport EU atau Schengen merupakan kawasan pergerakan bebas terbesar di dunia yang tidak memerlukan visa selama 90 hari atas urusan pelancongan dan perniagaan. -UTUSAN ONLINE