MELAKA: Wajah keceriaan bakal terpancar di wajah enam beradik yatim piatu di Kampung Pekan Tangga Batu dekat sini, apabila mereka bakal mendiami sebuah rumah baharu berharga RM40,000 yang kini sedang dalam pembinaan oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif LPM, Mohd. Salleh Hamidom berkata, rumah tersebut dibina melalui program sosial korporat LPM dan dijangka siap selewat-lewatnya bulan depan.
Katanya, rumah pasang siap yang mempunyai tiga bilik dan satu bilik air itu menggunakan sistem bina berindustri (IBS).
“Rumah ini dibina adalah menepati janji Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk membantu enam beradik ini sewaktu menziarahi mereka bulan lalu.
“Tapak rumah adalah di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang telah memberi kebenaran kepada LPM. Ia dibina tidak jauh dari rumah sewa enam beradik ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, kisah enam beradik berusia antara enam hingga 14 tahun itu disiarkan akhbar ini, apabila mereka bukan sahaja tidak memiliki sijil lahir dan tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah.
Sementara itu, kakak sulung enam beradik berkenaan, Nul Aziza Rosani, 14, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan Ketua Menteri dan LPM.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Cuma nak ucap terima kasih atas pemberian ini. Dapatlah kami enam beradik berteduh di rumah yang selesa,” katanya.
Dalam pada itu, adiknya, Ahmad Bahrom Rosani, 13, berkata, dia berasa sangat teruja dan mengakui tidak sabar untuk mendiami rumah baharu tersebut.
“Kami benar-benar teruja dan berterima kasih kepada pihak yang membantu kami enam beradik. Budi yang tidak dapat kami balas semuanya,” katanya- UTUSAN ONLINE










