Dua penanam jambu bergantung jualan 'online' - Utusan Malaysia

Dua penanam jambu bergantung jualan ‘online’

ABU Hassan Saad (kanan) membersihkan sebahagian hasil buah jambu batu yang ditanamnya sambil diperhatikan Amir ketika ditemui di kebun mereka di Kampung Semerbok, Rembau.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Dua sahabat yang mengusahakan tanaman jambu batu seluas lebih dua hektar kini hanya memasarkan hasil tanaman mereka secara atas talian selepas ketiadaan pemborong sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Amir Rahim, 46, dan Abu Hassan Saad, 65, memberitahu, keadaan itu menyebabkan berlaku lambakan buah jambu batu yang tidak dapat dijual..

“Kami berdua tanam kira-kira 600 batang pokok jambu batu daripada dua jenis iaitu Lohan dan Kristal. Hasil pertama jambu batu kami adalah pada April tahun lalu sebulan selepas pelaksanaan PKP.

“Setiap bulan, kebun ini mampu mengeluarkan hasil sebanyak tiga tan. Hanya satu tan yang boleh dijual melalui kaedah jualan atas talian atau tunai bayar waktu terima (COD) di sekitar daerah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Semerbok, di sini.

Menurut Abu Hassan pula, lambakan buah berkenaan ada yang disedekahkan kepada orang ramai dan ada juga yang terpaksa dibuang kerana sudah terlalu masak .

Jelasnya, jambu batu berkenaan dijual dengan harga sekitar RM6 sekilogram dan harga lebih rendah boleh diperoleh sekiranya terdapat pembeli yang ingin membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Dalam seminggu kami dapat jual sekitar 200 kilogram dan jualan berkenaan membantu kami membuat pusingan modal bagi pembelian baja serta racun kebun yang mencecah sehingga RM500 sebulan,” katanya.

Tambahnya, walaupun berdepan masalah tersebut, ia tidak sesekali mematahkan semangat mereka bagi mengusahakan pertanian berkenaan.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Nurul Syazwani Ramli, di talian 017-6864330. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN