Dua lelaki ditahan sorok dadah dalam plastik Chinese tea - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan sorok dadah dalam plastik Chinese tea

MOHD ZAIDI Abdullah (tengah) menunjukkan dadah yang dibungkus dalam plastik Chinese tea yang dirampas dalam serbuan di Kota Kinabalu, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Cubaan dua dalang sindiket pengedaran dadah mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan dadah jenis syabu dalam plastik China tea berjaya dikesan, pagi semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 4.15 pagi berhampiran sebuah pusat membeli belah dekat sini, polis berjaya menahan dua lelaki berasal dari Sarawak bersama dadah jenis syabu seberat 2.09 kilogram dengan anggaran RM72,000 mengikut harga pasaran semasa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 28 tahun itu ditahan dalam sebuah kenderaan Toyota Vios.

Bagaimanapun, cubaan polis mengarahkan mereka keluar dari kenderaan bagi menjalankan pemeriksaan tidak mendapat kerjasama daripada suspek. Susulan itu, cermin kereta suspek terpaksa dipecahkan.

“Berdasarkan pemeriksaan, polis menemukan dadah jenis syabu yang dibungkus dalam plastik Chinese tea untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kedua-dua suspek mengakui menerima bayaran upah RM1,000 bagi penghantaran kali ini dan bayaran itu bergantung kepada kuantiti dadah yang dihantar,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, serbuan yang dilakukan itu berdasarkan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sejak enam bulan lalu.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi urus niaga jualan dadah di pusat bandaraya dan daerah sekitarnya.

Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kedua-dua suspek negatif ujian air kencing.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti pembekal dadah yang terlibat.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN