KUDAT: Hasrat dua beranak keluar memancing berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mangsa ditemukan lemas semalam.
Mayat mangsa Jobik Mokim, 47, bersama anak lelakinya Nick Hezron, 18, ditemukan terdampar di pesisiran pantai berhampiran pusat peranginan Tampakan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K. Ramin berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang semasa keluar memancing pada Jumaat lalu.
“Kehilangan mangsa disedari apabila bot yang digunakan mangsa ditemukan di Pantai Kampung Lok Dangkaan, Pitas pada Sabtu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Berikutan itu, keluarga mangsa terus membuat laporan kepada pihak berkuasa dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula dijalankan di kawasan bakau berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang pada pukul 7.51 pagi semalam.
Operasi SAR ini dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Kemudian JBPM dimaklumkan tentang penemuan mayat di pesisir pantai berhampiran sebuah pusat peranginan.
“Sebaik sahaja tiba dilokasi berkenaan, JBPM menemukan mangsa pertama yang dipercayai Jobik sebelum menemukan mangsa kedua iaitu Nick selang beberapa minit kemudian. Kedua-dua mayat mangsa diangkat menggunakan bot JBPM.
“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi SAR itu ditamatkan pada 1.55 petang dan pasukan bomba terus bergerak balik ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat yang terletak 10 kilometer dari lokasi kejadian.- UTUSAN ONLINE










