KUANTAN: Seramai 78 doktor kontrak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini tidak menyertai gerakan mogok seperti dijadualkan hari ini sebaliknya mereka memilih memberi keutamaan merawat pesakit.
Tinjauan di HTAA pada pukul 11 pagi tiada kumpulan doktor kontrak berpakaian serba hitam dan menaikkan sepanduk di pekarangan pusat rawatan harian di sini.
Pengarah HTAA, Dr. Rahimah Ibrahim berkata, pihak pengurusan menyambut baik keputusan doktor kontrak dan menganggap tindakan tidak mengadakan sebarang perarakan dan gerakan mogok adalah betul.
Menurut beliau, dengan itu, hospital dapat berfungsi seperti biasa dalam memberi rawatan kepada pesakit tanpa gangguan.
“Alhamdulillah tiada gangguan pada perkhidmatan kita (hospital) hari ini… pegawai-pegawai perubatan kontrak yang bertugas di klinik atau pun wad masih meneruskan kerja.
“Mereka (doktor kontrak) merasakan kerajaan telah mendengar keluhan mereka dan sudah ada beberapa perbincangan malah Perdana Menteri juga sudah menyatakah langkah-langkah dalam mengatasi isu ini.
“Jadi keutamaan sekarang adalah untuk memberi rawatan dan penjagaan kepada kes-kes yang memerlukan… ia lebih penting daripada mereka mengadakan mogok,” kata beliau kepada pemberita di pekarangan pusat rawatan harian HTAA di sini hari ini.
Mogok doktor kontrak dijadualkan diadakan di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara selepas kerajaan didakwa gagal memenuhi beberapa tuntutan kumpulan dtersebut dalam perkhidmatan awam.
Berdasarkan maklumat, keseluruhan kakitangan perubatan di HTAA berjumlah 3,400 anggota namun hanya 78 doktor kontrak.
Sementara itu, Rahimah berkata, pihak hospital juga gembira dengan sikap dan rasa tanggungjawab ditunjukkan pegawai perubatan kontrak di situ.
“Mereka berfikir secara profesional dalam mengutamakan kerja dan juga kepentingan pesakit,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah merayu supaya doktor kontrak tidak meneruskan hasrat mengadakan gerakan mogok.
Noor Hisham dalam kenyataan di laman sosial Facebook meminta supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit yang boleh menjejaskan ratusan nyawa sekali gus kerjaya mereka sendiri.- UTUSAN ONLINE