Doktor kontrak di HTAA tak sertai mogok, utamakan pesakit - Utusan Malaysia

Doktor kontrak di HTAA tak sertai mogok, utamakan pesakit

SUASANA lengang di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tanpa penganjuran mogok oleh doktor kontrak di hospital itu di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 78 doktor kontrak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini tidak menyertai  gerakan mogok seperti dijadualkan hari ini sebaliknya mereka memilih  memberi keutamaan merawat pesakit.

Tinjauan di HTAA pada  pukul 11 pagi  tiada kumpulan doktor kontrak berpakaian serba hitam dan menaikkan sepanduk  di pekarangan pusat rawatan harian di sini.

Pengarah HTAA, Dr. Rahimah Ibrahim berkata, pihak pengurusan menyambut baik keputusan doktor kontrak dan menganggap tindakan tidak mengadakan sebarang perarakan dan gerakan mogok adalah betul.

Menurut beliau, dengan itu, hospital dapat berfungsi seperti biasa dalam memberi rawatan kepada pesakit tanpa  gangguan.

“Alhamdulillah tiada gangguan pada perkhidmatan kita (hospital) hari ini… pegawai-pegawai perubatan kontrak yang bertugas di klinik atau pun wad masih meneruskan kerja.

“Mereka (doktor kontrak) merasakan kerajaan telah mendengar keluhan mereka dan sudah ada beberapa perbincangan malah Perdana Menteri juga sudah menyatakah langkah-langkah dalam mengatasi isu ini.

“Jadi keutamaan sekarang adalah untuk memberi rawatan dan penjagaan kepada kes-kes yang memerlukan… ia lebih penting daripada mereka mengadakan mogok,” kata beliau  kepada pemberita di pekarangan pusat rawatan harian HTAA di sini hari ini.

Mogok doktor kontrak dijadualkan diadakan di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara selepas kerajaan didakwa gagal memenuhi beberapa tuntutan kumpulan dtersebut dalam perkhidmatan awam.

Berdasarkan maklumat, keseluruhan kakitangan perubatan di HTAA berjumlah 3,400 anggota namun hanya 78 doktor kontrak.

Sementara itu, Rahimah berkata, pihak hospital juga gembira dengan sikap dan rasa tanggungjawab ditunjukkan pegawai perubatan kontrak di situ. 

“Mereka berfikir secara profesional dalam mengutamakan kerja dan juga kepentingan pesakit,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah merayu supaya doktor kontrak tidak meneruskan hasrat mengadakan gerakan mogok.

Noor Hisham dalam kenyataan di laman sosial Facebook meminta supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit yang boleh menjejaskan ratusan nyawa sekali gus kerjaya mereka sendiri.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya