KUALA LUMPUR: Tiada negara yang boleh mengatasi ketetapan yang telah diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terutama dalam soal kelulusan dan pengiktirafan vaksin Covid-19.
Sebarang percanggahan dasar berkenaan vaksin oleh negara tertentu juga tidak sewajarnya timbul kerana WHO merupakan badan bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan mengambil tindakan tertentu bagi menjamin kesihatan penduduk di seluruh dunia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Yahya Mat Arip berkata, jika WHO sudah menetapkan sesuatu perkara, semua negara termasuk Kesatuan Eropah (EU) harus akur terhadap hal tersebut.
Malah, katanya, diskriminasi terhadap vaksin Covid-19 tidak sewajarnya menjadi isu kerana penghasilan dan pembangunan vaksin di bawah kawalan dan seliaan ketat oleh syarikat untuk memastikan kualiti dan keselamatan produknya.
“WHO adalah pihak autoriti di peringkat antarabangsa manakala Kesatuan Eropah (EU) juga merupakan anggotanya. Jadi bagaimana mereka tidak menerima keputusan WHO sebagai badan yang diiktiraf di peringkat global,” katanya mengulas laporan Kesatuan Eropah (EU) yang hanya mengiktiraf vaksin AstraZeneca yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).
Difahamkan, Eropah hanya menerima dan mengiktiraf vaksin Pfizer dan AstraZeneca keluaran negara sendiri manakala China hanya meluluskan vaksin Sinovac dan Sinopharm.
Senada dengan Yahya, pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana tujuan utama vaksinasi untuk mengurangkan kadar jangkitan dan kematian masyarakat dunia akibat pandemik Covid-19.
“Tiada bezanya vaksin yang sudah diluluskan asalkan ia selamat dan memenuhi tuntutan sebenar, jadi ia tidak patut didiskriminasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










