KLANG: Tiada lagi katil atas jalan.
Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini mengambil inisiatif mengubah suai beberapa kawasan seperti asrama doktor pelatih serta Kompleks Rawatan Harian menjadi wad sementara bagi merawat pesakit Covid-19.
Hospital itu dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka menerima jumlah pesakit yang ramai setiap hari menyebabkan keadaan itu sesak teruk sehingga beberapa buah katil terpaksa diletakkan di luar untuk merawat pesakit Covid-19.
“Tanpa usaha dan sokongan daripada semua kakitangan HTAR yang sentiasa bertungkus-lumus dan bersedia menghadapi krisis ini bersama, inisiatif ini tidak dapat direalisasikan. Pihak HTAR mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang membantu. Anda semua adalah wira.

“Gandingan pimpinan tertinggi HTAR dan semua Ketua Jabatan/Unit yang berani membuat percaturan setelah semua penilaian risiko dianalisis, beberapa kawasan telah diubah fungsi menjadi wad sementara,” katanya menerusi hantaran Facebook baru-baru ini.
Dalam hantaran sama, HTAR turut kongsikan beberapa keping gambar keadaan wad yang kini sudah diubahsuai dengan meletakkan beberapa buah katil lipat bagi merawat pesakit Covid-19.
HTAR menambah, sejak ubahsuai dilakukan, mereka terus menerima pesakit bermula pukul 9 malam kelmarin.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tinjauan di hospital berkenaan yang sesak dengan beberapa buah katil terpaksa diletakkan di bahagian luar wad kecemasan berikutan penerimaan pesakit terlalu ramai.

Di samping itu, hospital ikonik berkenaan turut memaklumkan perubahan yang dilakukan adalah membuktikan kakitangan barisan hadapan mereka masih belum berputus asa, walaupun sebelum ini tular dalam media sosial mendakwa HTAR lumpuh.
“Kakitangan HTAR masih belum berputus asa untuk terus bersiap sedia dan bertindak dalam menangani lonjakan jumlah pesakit Covid-19 di HTAR.
“Dengan bilangan kes harian di Selangor mencecah 4,000 sehari bukanlah petanda baik bagi HTAR kerana kes harian yang hadir ke Jabatan Kecemasan juga turut meningkat dengan mendadak sehingga tiada katil lagi untuk menempatkan pesakit-pesakit ini,”- UTUSAN ONLINE