PASIR PUTEH: Peniaga asam keping Che Munah Che Man, 82, yang kisahnya memohon supaya dibelikan beras dan budu pernah tular di media sosial dua tahun lalu, sekali lagi menjadi perhatian warganet sejak semalam.
Ketika tular kali pertama di Facebook pada 7 Januari 2019, kisah kehidupan Che Munah yang di rumah daif tanpa keperluan asas seperti air bersih dan elektrik di Kampung Banggol Pak Esah, di sini turut dilaporkan pelbagai media arus perdana, termasuk Utusan Malaysia.
Susulan itu, pelbagai pihak yang prihatin tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban wanita itu yang tidak mempunyai anak dan tinggal berdua dengan suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan.
Kelmarin, kisah warga emas itu tular lagi selepas beberapa klip video memaparkan dia sedang berniaga asam keping di lantai di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu dimuat naik seorang pemilik akaun TikTok yang bernama Hanif Asyraf.
Ketika disantuni oleh perakam video, Che Munah telah ditanyakan perkara diperlukannya sebelum sekadar meminta sumbangan RM5 bagi membeli beras serta nasi goreng untuk mengisi perutnya yang lapar.
Dalam tempoh kurang 24 jam, video tersebut bukan sahaja tular di TikTok, malah turut dikongsikan warganet di pelbagai saluran media sosial lain seperti Facebook dan Twitter, serta aplikasi WhatsApp.
Rata-rata warganet yang menonton video berkenaan mengakui tersentuh hati melihat kepayahan dihadapi Che Munah selain membangkitkan persoalan, ke mana pergi pihak nyag sepatutnya bertanggungjawab mengambil berat hal ehwal rakyat Kelantan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh, Wan Norhayati Wan Husain mengesahkan Che Munah merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Skim Bantuan Orang Tua (BOT) sejak 2014.
Katanya, melalui BOT, Che Munah masih menerima bantuan RM350 sebulan yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam Malaysia (BIMB) miliknya.
“Che Munah berkahwin dengan Abdullah Jusoh, 66, lapan tahun lalu. Mereka tidak mempunyai anak, namun suaminya ada tujuh anak hasil perkahwinan terdahulu. Selain JKM, Che Munah menerima sumbangan RM300 sebulan daripada anak saudaranya yang bekerja di Pahang.
“Dia menjaja asam gelugur di pasar pagi Pasir Puteh dan Kota Bharu dengan pendapatan RM100 sebulan. Menjual adalah minat Che Munah namun sumbangan JKM dan anak saudara sebenarnya sudah mencukupi,” ujarnya.
Wan Norhayati turut menambah, memandangkan rakyat di seluruh negara terkesan akibat pandemik ketika ini, pihak JKM akan meneliti keperluan terkini warga emas itu supaya kebajikannya terus terbela.- UTUSAN ONLINE










