Butik pengantin jual ikan tampung belanja keluarga - Utusan Malaysia

Butik pengantin jual ikan tampung belanja keluarga

NORLAILA membuka gerai ikan di tepi jalan di hadapan butik pengantinnya di Peringat, Kota Bharu demi kelangsungan hidup. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan sehingga berbulan-bulan mengakibatkan satu persatu pengusaha butik pengantin di negeri ini ‘kecundang’ dan gulung tikar.

Eilla Bridal milik Norlaila Saufi, 33, yang terletak di Peringat, di sini bagaimanapun masih lagi bertahan, namun, pekarangannya berubah ‘wajah’ menjadi gerai yang menjual pelbagai jenis ikan serta hasil laut lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norlaila memberitahu, memandangkan butik pengantin masih tidak dibenarkan beroperasi, dia nekad menjadi peniaga ikan demi kelangsungan hidup diri dan keluarga.

“Sebelum ini, pendapatan butik saya mampu cecah RM30,000 sebulan, sekarang boleh dikatakan sifar, sudah hilang segala-gala. Lebih malang lagi, butik ini satu-satunya punca pendapatan saya selama ini.

“Apabila tidak boleh beroperasi, saya buat keputusan jual ikan di tepi jalan supaya dapat sara diri dan tiga anak yang berusia dua hingga sembilan tahun,” katanya ketika ditemui di butiknya di sini semalam.

Bercerita lanjut, Norlaila berkata, sebaik sahaja PKP dikuatkuasakan di Kelantan pada Januari dan Februari lalu, sebelum sekali lagi dikuatkuasakan pada awal Ramadan hingga kini, dia diibaratkan sudah jatuh terduduk.

“Sebanyak 15 tempahan dibuat pelanggan terpaksa saya batalkan serta-merta kerana majlis sosial seperti kenduri kahwin memang tidak dibenarkan sepanjang dalam tempoh PKP,” keluhnya.

Tambah Norlaila, setakat ini, lebih 10 butik pengantin milik rakan-rakannya di sekitar daerah ini sudah gulung tikar dengan rata-rata mereka bertindak melelong busana pengantin pada harga murah RM300 setiap satu, berbanding harga asal mencecah RM1,500 ke atas.

“Ramai gulung tikar kerana tidak mampu bayar sewa kedai dan kos hutang baju pengantin yang dikreditkan terlebih dahulu oleh pembekal di Kuala Lumpur. Saya bernasib baik kerana semua kos pakaian bernilai lebih RM100,000 sudah dibayar lebih awal sebelum PKP,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN