Busana Olimpik berjaya terjemah penyatuan adat budaya negara - Utusan Malaysia

Busana Olimpik berjaya terjemah penyatuan adat budaya negara

HALIMAH MOHAMED SADIQUE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Busana kontinjen Malaysia yang dipakai ketika upacara pembukaan rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Jepun sesuatu yang membanggakan kerana menampilkan khazanah budaya negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, beliau berbangga kerana busana daripada pemakaian Laksamana Hang Tuah diperagakan dalam satu temasya yang berprestij.

“Berulang-ulang kali saya melihat pakaian perbarisan Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Rasa bangga kerana busana ini yang mengambil inspirasi daripada pemakaian Laksamana Hang Tuah diperagakan di dalam satu temasya sukan yang paling tinggi dan berprestij.

“Tak kira apa latar belakang, kesemua pegawai dan atlet memakai busana ini berjalan megah masuk ke stadium bagi upacara perasmian. Ternyata penyatuan boleh terbentuk melalui pakaian dan juga adat budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, busana berkenaan juga amat bertepatan dengan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan adat budaya.

Terdahulu busana berkenaan mendapat kritikan dari cef selebriti, Datuk Cef Wan dan beberapa pihak yang dianggap sebagai langsung tidak menarik dan kelihatan murahan.

Selain nampak serabut atau cacamarba, Cef Wan turut melabelkan atlet yang menyarung busana berkonsepkan pakaian tradisional Melayu, bertanjak untuk lelaki dan baju kurung bagi atlet wanita tersebut seperti badut, disebabkan paduan warna kuning dan merah.

Sementara itu, akhbar ini melaporkan, Ketua pasukan pereka dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khairul Azlan Abdul Karim berkata, inspirasi rekaan tersebut datang melalui perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai klien mengikut aspek kehendak, elemen, faktor wow dan nilai estetik yang ingin diketengahkan.

Katanya, setelah mendapat taklimat daripada MSN, konsep Laksamana Hang Tuah diketengahkan menerusi elemen semangat, perjuangan dan perpaduan.

Jelasnya perkara itu digarap khusus untuk mendapatkan semangat baharu ditambah dengan situasi pandemik yang menggugat mental dan fizikal dalam masa sama pihaknya cuba menghasilkan sesuatu yang segar dan sudah lama tidak keluar kaca televisyen. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN