Buktikan dapat sokongan di Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Buktikan dapat sokongan di Dewan Rakyat

ABU TALIB OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biarpun Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negara ekoran Perlembagaan yang menyebut ‘kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’, namun perkara itu perlu dibuktikan di Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, apa yang berlaku ketika ini hanyalah ‘cakap luar’.

“Wakil rakyat adalah penentu keputusan. Untuk menjelaskan keadaan, Perdana Menteri harus mengambil langkah drastik membuktikan keabsahannya dengan memanggil setiap seorang ahli Parlimen sama ada menyokong atau sebaliknya.

“Pun begitu, tidak pasti sama ada Muhyiddin sanggup mengambil pendekatan tersebut selain Parlimen hanya akan bersidang bermula 26 Julai ini manakala usul undi tidak percaya mustahil dibentangkan.

“Perdana Menteri kena tanya setiap seorang wakil rakyat kerajaan dan pembangkang untuk menentukan berapa sokongan yang beliau peroleh,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, Muhyiddin perlu menguji tahap sokongan ahli Parlimen terhadap beliau melalui usul undi percaya dalam sesi Dewan Rakyat akan datang sekali gus membuktikan kerajaan PN masih kukuh.

“Apa-apa pun Perdana Menteri kena laksanakan juga undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat nanti bagi menentukan keabsahan kerajaan PN,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, undi percaya kepada Perdana Menteri mungkin diusulkan oleh Kerajaan PN kerana difahamkan Muhyiddin akan membenarkan beliau diundi dalam kalangan ahli Parlimen sama ada mereka terus menyokong atau sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin Muhyiddin akan terus mendapat sokongan yang selesa daripada ahli Parlimen kerana keadaan sekarang yang masih memerlukan kerajaan diteruskan untuk memerangi Covid-19 dan bukannya mengadakan pertukaran kerajaan.

Rabu lepas, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk menarik balik sokongan serta-merta terhadap Muhyiddin.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN