LANGKAWI: Langkah meletakkan kawasan penempatan penduduk bangsa Myanmar di Bukit Malut di sini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Selasa ini adalah tepat kerana kawasan itu ibarat ‘bom jangka’ yang boleh meletuskan penularan Covid-19 yang buruk di pulau peranginan ini.
Ini kerana kebanyakan penduduk di penempatan itu didakwa tidak memberi kerjasama dalam mengesan kontak rapat bagi mengelakkan wabak tersebut terus merebak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mansor Ismail berkata, setakat semalam, jumlah kes aktif di Bukit Malut ialah sebanyak 136 kes manakala seramai 308 individu lagi diarah menjalani kuarantin di rumah masing-masing.
Katanya, jumlah kes Covid di kawasan itu mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan sekiranya penduduk saling memberi kerjasama melakukan ujian saringan.
“Banyak penduduk di kawasan itu melarikan diri apabila diarah melakukan ujian calitan dan mereka yang melarikan diri itu pula merupakan kontak rapat dengan penduduk yang disahkan positif Covid-19,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, setakat semalam, jumlah keseluruhan kes aktif di pulau itu pula sebanyak 207 kes.
Pada 23 Julai lalu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan satu operasi vaksinasi khas akan dilaksanakan di Bukit Malut bagi membendung penularan Covid-19 tidak lama lagi.
Dr. Mansor memberitahu, kawasan kedua yang mempunyai kes tinggi di pulau ini adalah Pulau Tuba dengan 53 kes aktif dan 237 individu diberi arahan untuk kuarantin di rumah.
Menurutnya, walaupun kes agak tinggi di Pulau Tuba, keadaannya lebih terkawal dan Program Outreach Imunisasi Covid-19 masih berjalan.
Daripada 108,400 penduduk di pulau ini, jumlah yang layak menerima vaksin ialah 76,400 orang.
Setakat 22 Julai lalu, jumlah penduduk di pulau ini yang menerima suntikan vaksin ialah seramai 68,036 orang iaitu dos pertama seramai 45,623 orang dan dos kedua pula 22,413 orang.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bukit Malut adalah antara 29 lokaliti di seluruh negara yang diletakkan di bawah PKPD.
Penempatan setinggan mega itu yang diteroka pendatang Myanmar sejak 1980-an lalu pernah mendapat liputan luas Utusan Malaysia awal tahun ini kerana dihuni lebih 10,000 warga asing.
Dianggarkan terdapat 2,500 rumah pendatang tanpa izin di lokaliti ini yang turut digelar Little Myanmar serta terkenal dengan kadar jenayah tinggi selain mengancam ekologi alam sekitar. – UTUSAN










