PETALING JAYA: Menukar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan orang lain bukan jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan kemelut politik negara stabil.
Ini kerana, masih tiada calon Perdana Menteri dalam kalangan parti komponen termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pas yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, ini jauh sekali untuk seseorang mendapat sekurang-kurangnya dua per tiga undi ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk dilantik ke dalam jawatan itu.
Malah, Pakatan Harapan (PH) pun tidak seutuh yang disangka untuk membentuk kerajaan baharu sekalipun memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.
“Cara yang boleh diambil untuk menstabilkan situasi politik negara sekarang adalah mengekalkan status quo kerajaan sedia ada dan Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri dan sokongan diberi kepada semua pihak termasuk pembangkang.
“Kedua, seseorang boleh dilantik untuk mengurus negara tetapi dengan syarat tidak berkait dengan unsur politik. Memang peranan Perdana Menteri itu penting dalam memberi arah tuju negara, tetapi, kalau Perdana Menteri sendiri terumbang-ambing, maka semua pihak akan terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pandangan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tentang penyelesaian krisis politik untuk mewujudkan kerajaan stabil dengan mengekalkan pentadbiran sekarang dan cuma menukar Perdana Menteri.
Senada dengan beliau, penganalisis politik dan keselamatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin yang berkata, menukar Perdana Menteri tidak sesuai ketika pandemik Covid-19 masih berada pada tahap membimbangkan.
Antara lain, tiada seorang pemimpin negara yang pernah berdepan krisis kesihatan berskala besar seperti Covid-19 dan pertukaran kepimpinan hanya mendorong kepada masalah lebih besar dan mengundang kemarahan rakyat.
“Jadi, ketika ini, semua pihak perlu mencapai konsensus bersama berpaksikan matlamat ingin keluar daripada pandemik dan tiada bentuk pertukaran besar dalam negara,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib pula berkata, kelemahan disebabkan seseorang individu tidak seharusnya menggambarkan keseluruhan kerajaan.
“Contohnya, kalau ada kelemahan dalam pengurusan vaksin Covid-19 dan jika ada solusi untuk mempercepat dan lebih tersasar, maka boleh menyelaras semua strategi tanpa perlu menukar Perdana Menteri.
“Begitu juga dalam politik negara, carilah kaedah lain yang boleh menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik tanpa menukar kedudukan sesiapa,” katanya.
Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Bilcher Bala berkata, Malaysia seharusnya mengambil pendekatan sama dengan Slovakia dan Itali yang menyaksikan Perdana Menterinya melepaskan jawatan akibat kemelut politik yang melanda negara itu.
Katanya, pertukaran kepimpinan tidak lagi harus berpandukan kepada kesesuaian keadaan atau sebaliknya kerana negara sudah tidak mempunyai cukup masa ketika kerajaan sudah terbukti tidak mampu menguruskan pandemik Covid-19.
“Adakah kita mahu menunggu keadaan terlalu parah dalam tempoh dua tahun lagi baru menukar kepimpinan?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE










