Blok ketiga tidak beri ancaman kepada parti-parti utama - Utusan Malaysia

Blok ketiga tidak beri ancaman kepada parti-parti utama

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin menyaksikan kemunculan blok ketiga menerusi kehadiran calon Bebas dan kemunculan parti-parti baharu selepas lebih enam dekad sistem demokrasi berjalan di negara ini sejak pilihan raya pertama pada 1955.

Secara tradisinya, 14 kali bersilih ganti pilihan raya negara hanya melibatkan dua blok utama yang bersaing iaitu antara Barisan Nasional (BN) dengan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau terkini Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menjelaskan, PKR dan PH tidak bimbang dengan kehadiran blok ketiga kerana bagi mereka, Perikatan Nasional (PN) merupakan seteru politik utama dan ia menjadi fokus penting untuk menumbangkannya pada pilihan raya umum akan datang.

Namun kata beliau, pihaknya tidak pernah pandang remeh pihak ketiga itu kerana sepanjang perjalanan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK), kehadiran mereka sudah menjadi adat pertandingan.

“Misalnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, terdapat lima sehingga 10 penjuru sama ada melibatkan parti politik tanah air atau tempatan mahupun calon Bebas, itu telah menjadi adat permainan politik.

“Namun paling penting adalah soal jenama itu sendiri kerana ia mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk dibentuk bukannya sehari atau sebulan dan rakyat sentiasa melihat soal ini. Bagi PKR dan PH, klita sentiasa meneliti hasrat untuk menjadi jenama paling dipercayai,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, ekoran keterbatasan pergerakan Covid-19 masa kini, calon dan parti politik masih menjadi pilihan sewaktu kempen dijalankan memandangkan mereka lebih dikenali berbanding calon Bebas dan parti baharu.

Beliau kemudian berkata, mana-mana parti politik perlu terbuka demi menjaga kestabilan negara jika keputusan PRU tergantung apabila tiada pihak memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan.

“Bagi mengatasi perkara ini, satu undang-undang antilompat perlu digubal agar kerjasama politik pada masa akan datang terus kukuh dan tiada berlaku pengkhianatan seperti mana berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sudah menjadi adat resam gelanggang politik akan berlaku pertandingan pelbagai parti dan wujudnya tawaran tertentu demi menarik sokongan serta undi rakyat.

Ujarnya, UMNO sebagai parti ‘senior’ telah melalui situasi itu khususnya ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila parti itu kalah akibat rakyat termakan janji-janji manis PH.

Bagaimanapun kata beliau, rakyat perlu sedar dan menjadi pengundi bertanggungjawab serta tidak menjadikan pilihan raya sebagai medan eksperimen dengan memilih pihak yang belum tentu menjamin kestabilan negara.

“Dalam soal ini, PRU-14 harus dijadikan panduan dan pengalaman bahawa pemikiran rasional wajar digunakan untuk memilih kerajaan. Jika tidak, kita akan mengulangi situasi ketidakstabilan kerajaan hingga ke hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Md Akbal Abdullah berkata, kewujudan blok ketiga disebabkan rakyat khususnya pengundi muda kini tidak suka dengan sikap dan gelagat pemimpin lama yang masih mewarnai politik negara lebih puluhan tahun.

Bagaimanapun beliau berpandangan, blok ketiga masih belum pergi jauh untuk meraih sokongan apatah lagi memimpin negara kerana masyarakat masih melihat kepada rekod dan pengalaman sesebuah parti itu sendiri.

“Tidak kira UMNO, Pas mahupun PKR dan DAP sendiri, rakyat masih melihat parti-parti ini masih pengalaman dan layak memimpin negara. Namun parti-parti perlu perubahan pemimpin dan meletakkan calon-calon muda agar mereka terus relevan.

“Dalam soal ini, pemimpin blok ketiga ini wajar menyertai parti-parti dominan supaya mereka dapat bertapak dalam percaturan politik tanah air dan pergi lebih jauh untuk menjadi pemimpin negara,” katanya.

Menurut Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung, PRU-15 bakal menyaksikan persaingan sengit kerana bukan sahaja melibatkan parti-parti lama namun parti baharu atau blok ketiga.

Katanya, namun laluan blok ketiga untuk menang pilihan raya agak sukar melainkan mereka membentuk kerjasama politik selepas keputusan diumumkan kelak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN