DUNGUN: Seekor beruang matahari seberat lebih 50 kilogram mati dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 367.5, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Bukit Besi, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu menyebabkan beruang betina berkenaan mati di lokasi kejadian manakala pemandu wanita tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika pemandu yang merupakan seorang guru dalam perjalanan dari kediamannya di Bukit Payung, Marang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut di sini.
“Bagaimanapun, ketika di lokasi kejadian, haiwan liar itu dikatakan tiba-tiba melintas dari arah kanan jalan hingga gagal dielak guru berkenaan
“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan guru wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu terbabas hingga melanggar besi penghadang jalan,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Baharudin berkata, bangkai beruang berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE