NIBONG TEBAL: Meskipun perniagaan permaidani turut terkesan gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas, namun, Rosfa Nizam Abu Seman, 44, masih mampu menarik nafas lega sehingga ke saat ini.
Ujar bapa kepada tiga anak itu, ini kerana permintaan terhadap karpetnya sentiasa ada walaupun tidak setinggi sebelum bermulanya PKP tahun lepas.
“Saya bersyukur kerana boleh dikatakan hampir setiap bulan ada sahaja job (tempahan memasang permaidani) baharu yang masuk sehingga total lockdown (sekatan pergerakan penuh) bermula 1 Jun lalu.

“Permintaan itu memang sentiasa ada, tapi disebabkan PKP (termasuk tidak dibenarkan merentas daerah), maka kami tak boleh buat dan banyak kerja yang tertangguh serta tergendala,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kisah Rosfa Nizam bersama isterinya, Rosyifa Sapihee, 38, dalam membangunkan perniagaan permaidani bumiputera di bawah jenama Uzairayyan Carpet yang mengkhusus kepada permaidani untuk kegunaan masjid dan surau itu pernah disiarkan Utusan Malaysia sebelum ini.
Dalam pada itu, jelas Rosfa Nizam, walaupun kebanyakan masjid dan surau tidak dapat dibuka sepanjang PKP, beliau bertuah kerana pengurusan kedua-dua rumah ibadah tersebut masih menghubungi beliau untuk mendapatkan perkhidmatan karpet.
“Alhamdulillah, kebanyakan masjid atau surau yang hubungi saya itu mahu menukar permaidani mereka (selepas melakukan kerja-kerja pembersihan atau sanitasi akibat Covid-19),” katanya.
Sejak dibangunkan kira-kira tujuh tahun lalu, syarikatnya, Uzairayyan Enterprise terlibat dalam lebih 100 projek pemasangan serta pembekalan permaidani khususnya untuk kegunaan masjid, surau serta pejabat-pejabat kerajaan dan swasta di seluruh Pulau Pinang, Kedah, Perak, Perlis, Selangor dan Negeri Sembilan.- UTUSAN ONLINE










