'Bantulah jaga fasiliti pusat kuarantin' - Utusan Malaysia

‘Bantulah jaga fasiliti pusat kuarantin’

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya memohon pesakit Covid-19 yang dikuarantin di PKRC MAEPS mengambil tanggungjawab sama menjaga fasiliti dan kebersihan di pusat ini.”

Itu rayuan Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Dr. Shahabuddin Ibrahim berhubung isu tahap kebersihan di dewan kuarantin sebagaimana tular di media sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, pihaknya mengakui terdapat kekangan pekerja konsesi pembersihan berikutan penggantian pekerja baharu dan perlu menunggu keputusan ujian saringan sebelum memulakan tugas.

Bagaimanapun, katanya, setelah ujian saringan dijalankan, latihan kawalan infeksi terus dilakukan kepada petugas baharu dan proses pembersihan dewan telah pun dimulakan pada Sabtu lalu.

“Tahap kebersihan di semua dewan pesakit di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 telah kembali pulih.

“Pihak PKRC berterima kasih terhadap kerjasama dan pandangan semua pihak dan akan sentiasa cuba memastikan perkhidmatan dan keperluan pesakit akan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung tahap fasiliti dan kebersihan di PKRC MAEPS daif dengan longgokan sampah selain beberapa kemudahan lain seperti penapis air tidak berfungsi dan keadaan sinki rosak akibat tersumbat dengan sisa makanan.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian mendapati, ia bergantung dengan sikap pesakit sendiri yang tidak bertanggungjawab untuk sama-sama menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata.

Ini kerana rata-rata pesakit yang dirawat di dewan DG misalnya adalah pesakit dalam kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala dengan keadaan mereka secara fizikalnya sihat.

Seorang pesakit di pusat itu memberitahu Utusan Malaysia, petugas kebersihan sudah menjalankan tugas sebaiknya dengan memastikan sampah dibuang setiap hari dan sentiasa membersihkan kawasan dengan tahap terbaik.

Dia yang mahu dikenali sebagai Idris berkata, kebanyakan pesakit sendiri yang mengabaikan kebersihan dengan tidak mengemas tempat masing-masing, malah dilihat membuang sampah merata-rata.

“Mereka bersikap tidak bertanggungjawab, hanya mengharapkan petugas kebersihan melakukan kerja sedangkan ia boleh dibuat bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×