Bahas masalah rakyat, bukan isu politik - Utusan Malaysia

Bahas masalah rakyat, bukan isu politik

Nurul izzah
NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persidangan Parlimen yang dijangka berlangsung sebelum 1 Ogos ini perlu mengutamakan penyelesaian masalah rakyat, bukannya isu memanfaatkan orang politik.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, Dewan Rakyat yang berfungsi dengan baik dapat memastikan wakil rakyat mengangkat suara rakyat dan memberi kritikan konstruktif ke atas dasar, perbelanjaan, program serta undang-undang yang dirangka kerajaan.

Katanya, maklum balas dan suara rakyat perlu dibawa ke dalam sidang Dewan Rakyat terutamanya mereka yang sedang bergelut dengan kesan keperitan ekonomi, mental dan nyawa akibat pandemik Covid-19.

“Secara khusus, beberapa rang undang-undang juga perlu diperkenal secepat mungkin bagi mempermudah serta membela kehidupan rakyat yang semakin mendesak.

“Antaranya termasuk pengenalan semula Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 yang juga melibatkan institusi kewangan yang meliputi pembayaran balik ansuran beserta faedah yang dikenakan, Akta Gangguan Seksual dan Akta Profesion Kerja Sosial agar dapat memartabat serta memudah cara peranan pekerja sosial atau kebajikan yang keperluannya sangat meruncing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Juga pindaan kepada Akta Pekerja yang memastikan semua pekerja dilindungi daripada risiko sewaktu kerja dan dibekal dengan skim perlindungan sosial secara automatik dan meneliti Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan yang diumum bakal menggantikan Akta Penagih Dadah 1983 dilulus secepat mungkin supaya lebih ramai penagih mampu mendapat rawatan, dipulih dan bukannya dipenjara,” katanya.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, persidangan Parlimen diputuskan untuk diadakan secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.

Menurut Nurul Izzah, tinjauan tentang jenis-jenis kemiskinan dan keperluan di kalangan masyarakat Permatang Pauh yang diusahakan baru-baru ini juga mendapati tiadanya sokongan kesihatan mental yang memadai ketika rakyat sedang mengharungi pandemik.

“Setelah Covid-19 melanda kehidupan, lebih ramai mengalami kemurungan dan masalah mental bahkan untuk tahun 2018 sahaja, negara kerugian hampir RM 15 bilion akibat masalah mental di tempat kerja,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×