HULU TERENGGANU: Bukan kerja mudah tapi itu pengalaman luar biasa seorang angggota Angkatan Pertahanan Awam (APAM) Hulu Terengganu.
Anggota terbabit terpaksa berjalan itik sejauh lima meter di dalam longkang di stesen bas Kuala Berang di sini semata-mata untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap, hari ini.
Dengan berbekalkan lampu suluh, operasi menyelamatkan haiwan comel itu bagaimanapun berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira 35 minit.
Ketua Operasi, Lans Koperal Badrol Hisham Abdul Wahad berkata, seramai tiga anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 10.40 pagi.
Katanya, pemeriksaan mendapati suara anak kucing itu datang dari longkang sedalam kira-kira 1.5 meter dan walaupun diumpan dengan makanan, namun masih gagal menarik perhatian haiwan berkenaan datang ke arah pembentung.
“Anggota kemudian berjalan itik ke arah bunyi itu dan berjaya menemukan anak kucing yang terperangkap. Sejurus selepas diselamatkan, kucing bertompok hitam serta putih itu kemudian diberikan makanan dan kelihatan lincah semula,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Badrol Hisham berkata, haiwan comel itu bernasib baik kerana longkang berkenaan tidak mengandungi air di dalamnya.- UTUSAN ONLINE










