Akmal Nasir hilang kepercayaan ketua cabang AMK - Utusan Malaysia

Akmal Nasir hilang kepercayaan ketua cabang AMK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majoriti ketua-ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Negeri Selangor telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beberapa ketua AMK itu juga tidak bersetuju dengan pencalonan Chua Wei Kiat sebagai Ketua AMK Negeri Selangor yang baharu.

Satu kenyataan media bersama telah dikeluarkan oleh beberapa ketua cabang AMK menuntut Kongres AMK Luar biasa (EGM) diadakan bagi memilih semula Ketua AMK Malaysia yang baharu.

“Kami mewakili majoriti ketua-ketua AMK Cabang dalam Negeri Selangor dengan ini menolak pelantikan Ketua AMK Selangor yang baharu.

“Selain itu, kami juga secara sebulat suara memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah selaku Ketua AMK Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, satu perjumpaan antara Akmal Nasir bersama Ketua-ketua AMK Cabang di Negeri Selangor telah diadakan pada 29 Jun lalu bagi memenuhi tuntutan dalam Peraturan AMK 2014 dalam proses memilih Ketua AMK Selangor yang baharu.

Pertemuan secara maya tersebut dihadiri oleh 18 Ketua-ketua AMK Cabang yang sah dan rasmi di Selangor berdasarkan rekod Mesyuarat Agung Tahunan AMK Cabang (MATAMKC) 2020 yang lalu.

Walau bagaimanapun, jumlah ketua AMK dalam Selangor yang menghadiri perjumpaan tersebut dikatakan tidak benar kerana hanya 15 orang ketua cabang AMK yang menghadiri perjumpaan secara maya itu.

“Perlu dijelaskan bahawa kenyataan Setiausaha AMK Malaysia berhubung jumlah kehadiran ketua-ketua AMK Cabang seramai 18 orang adalah tidak benar dan bersifat mengelirukan. Jumlah Ketua-ketua AMK Cabang dalam Selangor yang menyertai pertemuan itu adalah seramai 15 orang sahaja.

“Dalam perjumpaan itu, hanya Ketua AMK dari cabang Shah Alam, Sabak Bernam dan Sepang yang tidak membantah pencalonan Wei Kiat sebagai Ketua AMK Negeri Selangor yang baharu,” jelasnya.

Ketua-ketua AMK secara kolektif mencadangkan kepada Ketua AMK Malaysia agar Ketua AMK Negeri yang baharu dipilih daripada  kalangan mereka yang memiliki sokongan majoriti.

Hal ini adalah berikutan pemecatan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Selangor secara mengejut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN