Agong boleh mendapatkan nasihat selain Jawatankuasa Khas Bebas Darurat - Utusan Malaysia

Agong boleh mendapatkan nasihat selain Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bertujuan mengelak campur tangan kerajaan dalam urusan Yang di-Pertuan Agong berhubung penerusan darurat, kata pensyarah undang-undang, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz.

Pakar perlembagaan itu berkata, walau bagaimanapun, tidak dapat disyaratkan supaya Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mendapatkan pandangan atau pendapat pihak lain bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat penilaian yang sewajar dan seadil mungkin.

SHAMRAHAYU A. AZIZ

Namun begitu, katanya, pandangan atau pendapat pihak lain itu pastinya dari segi undang-undang tidak mengikat Yang di-Pertuan Agong kerana Seksyen 2 Ordinan Darurat mensyaratkan supaya Yang di-Pertuan Agong mendapatkan nasihat jawatankuasa khas bebas dan tidak dinyatakan sebaliknya atau selainnya.

“Adakah Yang di-Pertuan Agong terikat dengan nasihat Jawankuasa Khas Bebas? Sekiranya dilihat kepada konsep “nasihat”, ia seolah-olah mensyaratkan supaya Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat jawatankuasa ini.

“Namun, seperti mana dijelaskan di atas, ia tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pandangan atau pendapat pihak lain. Pandangan atau pendapat pihak lain itu walau bagaimanapun, dalam konteks undang-undang, tidak dapat mengatasi nasihat jawatankuasa khas bebas berkenaan.

“Tambahan pula, apabila dilihat kepada keanggotaan jawatankuasa khas bebas ini ia terdiri daripada para pakar dalam pelbagai bidang, termasuk perundangan, keselamatan, kesihatan, pentadbiran negara, pendidikan, agama, ekonomi, dan juga wakil dari parti-parti politik,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Shamrahayu berkata, dari segi pandangan masyarakat umum, saya nampak tiada keraguan ketara yang dilahirkan oleh masyarakat awam tentang kewibawaan jawatankuasa khas bebas ini.  

Katanya, sebagai nota kecil, mungkin ramai khalayak yang mahu tahu tentang Laporan Jawatankuasa Khas ini sekiranya ia bukan rahsia besar atau dokumen sulit.

Beliau menjelaskan, jawatankuasa khas bebas ini mempunyai kapasiti seumpama ia diwujudkan oleh suatu Akta Parlimen kerana kesan suatu ordinan adalah seumpama Akta Parlimen. 

“Menurut Perkara 40(3) yang menyatakan, “Undang-Undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain – (a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya; (b) fungsi yang berkenaan dengan perjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.” 

“‘Undang-Undang Persekutuan’ secara ringkasnya ditafsirkan oleh Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang yang Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubalnya, dan “apa-apa Akta Parlimen”,” katanya.

Shamrahayu berkata, Ordinan Darurat mempunyai kuat kuasa seumpama Akta Parlimen atau Undang-Undang Persekutuan kerana Perkara 150(2C) menyatakan “Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen”.  

Katanya, Fasal (2B) ini adalah suatu Fasal yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang yang diperlukan bagi tujuan darurat sekiranya kedua-dua Majlis Parlimen tidak bersidang secara serentak. 

Justeru, katanya, ini mengukuhkan andaian bahawa nasihat yang diberikan oleh Jawatankuasa Khas Bebas ini hendaklah diikuti oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 40, kecuali perkenan mengenai pengisytiharan darurat ini adalah kuasa budi bicara baginda atau terdapat prosedur lain yang menetapkan bagaimana pengisytiharan tersebut perlu dilakukan. 

“Frasa “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati” di bawah Perkara 150(1) hendaklah diberikan perhatian, sama ada ia merupakan satu peruntukan yang menyediakan peruntukan budi bicara atau Perkara 150(1) itu menyediakan tentang bagaimana fungsi Yang di-Pertuan Agong dapat dilaksanakan. 

“Persoalan ini menjadi terlalu teknikal dan ia boleh dijadikan bahan perbahasan akademik perundangan. Sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150(1) itu adalah kuasa budi bicara maka baginda tidak tertakluk kepada nasihat jawatankuasa khas bebas dan boleh membuat keputusan tanpa terikat kepada laporan atau syor jawatankuasa berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN