ADUN pembangkang Kedah sokong kempen kibar bendera putih - Utusan Malaysia

ADUN pembangkang Kedah sokong kempen kibar bendera putih

Pengibaran bendera putih kini menimbulkan banyak tafsiran dan menjadi bualan dalam media sosial - SUMBER MEDIA SOSIAL- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang di negeri ini menyokong kempen mengibarkan bendera putih bagi membantu mereka yang terputus bekalan makanan berikutan pandemik Covid-19.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini hari ini, mereka menganggap tindakan mengibarkan bendera tersebut akan memudahkan wakil kerajaan membantu keluarga tersebut dengan segera tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Menurutnya, golongan tersebut pula tidak sepatutnya dilabel sebagai pembangkang dan dianggap tidak perlu dibantu walaupun layak menerima bantuan.

“Paling terkesan adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bergantung kepada upah harian, diberhentikan kerja, ibu tunggal dan warga emas terlantar uzur.

“Mereka berjuang untuk hidup. Hari demi hari bertambah sukar untuk menyara hidup sendiri dan keluarga. Entah berapa ramai ibu dan bapa sebak mendodoikan anak-anak kecil tidur dalam kelaparan. Kalau dapat makan telur dibelah lapan pun, mereka sudah bersyukur,” kata kenyataan itu.

Antara ADUN yang mengeluarkan kenyataan bersama itu termasuk Ketua Pembangkang DUN Kedah daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Johari Abdul serta Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri Kedah tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih oleh individu di negeri ini sebagai tanda memerlukan bantuan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya hanya menyalurkan bantuan makanan kepada individu yang membuat aduan secara rasmi melalui panggilan telefon di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) seluruh daerah di negeri ini.

Kenyataan itu menambah, Muhammad Sanusi Md. Nor perlu merenung kembali implikasi terhadap masyarakat apabila beliau berkeras tidak mengiktiraf inisiatif berkenaan, selain melabelnya sebagai propaganda politik serta cubaan menunjukkan kegagalan kerajaan.

“Adakah kesengsaraan hidup rakyat itu propaganda politik? Adakah kesusahan rakyat itu perlu dipolitikkan?

“Seorang pemimpin tidak harus angkuh dan bongkak sambil galak melaung retorik politik ketik rakyat sedang ‘lemas’.

“Berlapang dada dalam menerima keikhlasan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil mengorbankan tenaga, masa dan harta benda demi menyelamatkan keluarga yang sedang bergelut untuk hidup,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN