59 kontak rapat pesakit Covid-19 yang lari masih dijejaki - Utusan Malaysia

59 kontak rapat pesakit Covid-19 yang lari masih dijejaki

HAZANI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Polis Sabah masih menjejaki 59 orang kontak rapat pesakit Covid-19 dari Kampung Pondo, Pulau Gaya yang melarikan diri semasa hendak dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, arahan untuk menyerah diri sudah dikeluarkan bagi meminta mereka melaporkan diri kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

Beliau berkata, pasukan keselamatan sedang giat mengesan penduduk yang masih belum dijumpai dengan menjalankan pencarian di kawasan darat dan laut.

Malah, laluan utama dari perkampungan Pulau Gaya ke bandar raya ini juga dipantau sepenuhnya.

Sebelum ini, 69 orang penduduk Kampung Pondo yang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bertindak melarikan diri namun, 10 orang berjaya ditahan semula hari ini.

“Kesemua 10 individu yang ditahan semula dikenal pasti sebagai penjual ikan dan pekerja di Pasar Besar dekat sini.

“Mereka ditahan awal pagi tadi dan diserahkan kepada pihak berwajib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hazani, kesemua individu yang merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 ini diminta untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diarahkan  menjalani kuarantin di PKRC yang ditetapkan.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan, ada yang kontak rapat yang melarikan diri ini adalah positif Covid-19 dan Kementerian Kesihatan sudah dimaklumkan mengenai insiden ini.

Bercakap lanjut mengenai kejadian itu, beliau berkata kesemua 69 dikesan hilang dan dipercayai melarikan diri di kampung berkenaan selepas arahan untuk membawa mereka ke PKRC dikeluarkan.

Kampung Pondo adalah antara empat perkampungan di Pulau Gaya yang akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN