185 kes kaunseling tangani tekanan warga UKM - Utusan Malaysia

185 kes kaunseling tangani tekanan warga UKM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandang serius isu tekanan mental dalam kalangan mahasiswa yang mengikuti pembelajaran dalam talian selain melaksanakan beberapa inisiatif.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, setakat ini sebanyak 185 kes dilaporkan melibatkan kesihatan mental warga UKM terutamanya mahasiswa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu.

“Aduan diperoleh dikendalikan ahli penyelidik dan pakar kaunseling dengan memberikan khidmat nasihat, kaunseling serta bantuan psikologi bersesuaian,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah memulakan langkah seawal Mac tahun lalu dalam mengurangkan tekanan mahasiswa dan usaha tersebut berterusan sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah, UKM sentiasa cakna dengan keperluan fizikal, mental dan emosi mahasiswa. Contohnya, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan mengadakan program khusus bagi menangani masalah tersebut.

“Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) turut diadakan sejak negara dilanda Covid-19,” katanya mengulas isu tekanan dihadapi mahasiswa semasa pembelajaran dalam talian

Menurut Mohd. Ekhwan, program berkenaan diadakan melalui perkhidmatan e-kaunseling dan e-psikologi kepada warga UKM dan orang awam bagi menjaga kesejahteraan mental mereka

Katanya, Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) turut memainkan peranan dengan membuat hebahan mengenai perkhidmatan bantuan psikologi oleh Unit Kaunseling HEP UKM termasuk nombor telefon unit berkenaan.

Selain itu, menurut beliau, UKM turut menjalankan program penjagaan emosi seperti webinar ‘Let’s Talk’ dan Kesedaran Kendiri: Era Pembunuh Senyap anjuran Kolej Tun Hussein Onn UKM dalam membina sistem sokongan mahasiswa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN