15 dicekup leka judi ikan laga di sebuah pondok - Utusan Malaysia

15 dicekup leka judi ikan laga di sebuah pondok

BAHARUDIN Abdullah (dua, kanan) menunjukkan antara ikan laga yang dirampas dalam serbuan kegiatan judi di sebuah pondok di Felda Kertih 3 di Dungun, Sabtu lalu. UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kegiatan judi laga ikan yang dikesan aktif di daerah ini sejak beberapa hari lalu ditumpaskan dengan penahanan 15 lelaki dalam serbuan di sebuah pondok di Felda Kertih 3 di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada anak tempatan berusia 20 hingga 56 tahun itu ditahan ketika leka berjudi, kira-kira pukul 12.30 tengah hari. 

Katanya, polis merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk 26 botol kecil, lima balang mengandungi 31 ekor ikan laga, tiga serkap ayam, sekotak gabus, satu bakul sulaman dan dua beg.

“Turut dirampas wang tunai bernilai RM950 yang dipercayai digunakan sebagai duit pertaruhan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, hari ini. 

Baharudin berkata, siasatan mendapati 11 suspek berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan kesemua mereka dikompaun RM1,500 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN