Empat ADUN Bersatu Johor sedia tarik 'handbreak' - Utusan Malaysia

Empat ADUN Bersatu Johor sedia tarik ‘handbreak’

CHE Zakaria Mohd. Salleh (kanan) menyerahkan sumbangan secara pandu lalu kepada pengusaha dan pemandu van sekolah di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia menarik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor jika UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.

Mendedahkan perkara itu, ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, tindakan itu jika dibuat akan secara langsung menyebabkan kerajaan Johor sedia ada ketika ini jatuh.

Tanpa menamakan kesemua ADUN terbabit, tegas Che Zakaria beliau merupakan salah seorang daripada empat ADUN berkenaan.

“Kami ingatkan UMNO supaya berhenti daripada bermain politik, sekiranya kerajaan Pusat bertukar maka kerajaan negeri di Johor juga akan bertukar. 

“Bukan empat sahaja tetapi enam atau lebih (ADUN Bersatu) bersedia menarik sokongan. Jadi jangan main-main atau cuba berbuat sesuka hati semata-mata kerana mahu berkuasa.

“Jangan guna alasan kononnya ia dibuat demi rakyat tetapi sebaliknya ia demi kepentingan diri dan kuasa mereka. Jika benar berjuang untuk rakyat maka berhentilah berpolitik, tumpu dan selesaikan isu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas secara pandu lalu kepada 60 pengusaha dan pemandu van sekolah di Taman Bukit Dahlia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus terdapat gerakan segelintir pemimpin UMNO yang mahu menubuhkan kerajaan baharu walaupun jawatan Timbalan Perdana Menteri sudah diberikan kepada parti itu.

Kerajaan PN Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika ini mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Mengulas lanjut, Che Zakaria turut mengingatkan UMNO agar tidak terus menerus mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Katanya, desakan dibuat beberapa pemimpin UMNO itu mempunyai agenda tersendiri dan tidak mewakili keseluruhan parti berkenaan.

“Jangan perkotak-katikkan Perdana Menteri, kami tidak rela Presiden kami terus dipermainkan. Tan Sri Muhyiddin seperti getah dan orang yang memaksanya melepas jawatan seperti penukul.

“Semakin kerap penukul memukul getah semakin liat dan kuat getah itu malah penukul itu pula berbalik dan terkena muka sendiri. Kita harap pemimpin politik tumpu kepada masalah rakyat,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN