JOHOR BAHRU: Seramai 1,266 individu dikesan positif Covid-19 hasil saringan terhadap 3,735 pekerja asing dan penduduk di tiga lokaliti di negeri ini yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, 488 positif selepas 691 saringan dilakukan di asrama pekerja warga asing di Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak.
Katanya, 700 lagi dikesan positif selepas 1,026 saringan dilakukan di asrama pekerja warga asing dan kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Rainbow Metal Sdn. Bhd. di Buloh Kasap, Segamat.
“Sementara itu, 78 positif selepas 2,018 saringan dilakukan di Mukim Tenglu, Mersing melibatkan Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok.
“Daripada tiga lokaliti tersebut, terdapat tiga kes kematian dicatatkan iaitu di asrama pekerja warga asing di Jalan Rivera, Tanjung Agas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, pelaksanaan PKPD di lokaliti terbabit memudahkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menjalankan pengesanan kes, saringan dan seterusnya mengawal pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti itu.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga semalam, kumulatif kluster aktif di negeri ini berjumlah 105 kluster dengan 70 peratus daripadanya adalah penularan dalam industri.
“Ini diikuti dengan 14 kluster dalam komuniti, sembilan kluster dalam institusi, enam kluster di pasar raya dan satu kluster masing-masing melibatkan tahanan dan kluster import A,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Vidyananthan memberitahu, seramai 365,351 individu sudah menerima dos vaksin bagi fasa kedua program vaksinasi di negeri ini sehingga semalam.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut seramai 166,501 orang telah lengkap menerima dos kedua.
Di Johor terdapat 156 Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) yang aktif iaitu 20 PPV awam, PPV di klinik kesihatan (dua), PPV mega (1), PPV industri (dua), PPV hospital swasta (13), PPV General Practitioner (102), PPV mobile (10) dan PPV Special (enam). – UTUSAN ONLINE










