1,101 permohonan bantuan Pemulih dari pengusaha Taska diterima - Utusan Malaysia

1,101 permohonan bantuan Pemulih dari pengusaha Taska diterima

RINA Mohd. Harun menyampaikan replika cek bantuan kepada penerima pengusaha Taska ketika lawatan beliau di Taska Nur Qasih Ixora, Sepang. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG : Sebanyak 1,101 permohonan diterima daripada pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) seluruh negara menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sejak permohonan bantuan berkenaan dibuka 19 Julai lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 600 permohonan sudah diluluskan, manakala bakinya masih dalam proses kelulusan.

“Permohonan boleh dibuat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah masing-masing atau melalui laman web JKM dengan disertakan dokumen asas.

“Apa yang penting, mana-mana taska yang ingin membuat permohonan perlu berdaftar di bawah JKM,” katanya selepas mengadakan pemantauan dan penyampaian Inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Taska Nur Qasih Ixora Bandar Baru Salak Tinggi, di sini hari ini.

Dalam program tersebut, sebanyak lima pengusaha taska daripada kategori Taska Institusi, Taska di Tempat Kerja dan Taska Komuniti menerima bantuan Pemulih.

Institusi itu terdiri daripada Taska Nur Qasih Ixora dengan bantuan sebanyak RM3,000; Taska Daun Biru (RM3,000); Taska Cahaya Permata Dengkil (RM3,000); Taska di rumah Kakak Ila (RM800); dan Taska di rumah Rose Tarmizi (RM800).

Rina berkata, kementerian menggalakkan lebih ramai pengusaha taska supaya memohon bantuan Pemulih yang disediakan kerajaan bagi membantu taska beroperasi semula.

“Ini kerana, sejumlah 13.2 juta diperuntukkan dan dijangka memberi manfaat kepada 4,400 pengusaha taska seluruh negara,” katanya.

Selain itu, katanya, bantuan lain kepada pengusaha taska turut diberikan seperti menerusi bantuan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) tahun lepas di mana sejumlah RM5,000 diberikan kepada pengusaha taska manakala RM1,500 kepada pengusaha taska di rumah.

“Apabila pakej bantuan diumumkan, ia perlu diuar-uarkan supaya dapat dinikmati rakyat yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, Rina turut menekankan bahawa pihaknya akan membuat semakan lebih terperinci dalam proses permohonan berdaftar di bawah JKM bagi pengusaha taska.

“Sehingga Mei lalu, sebanyak 5,404 buah taska berdaftar di bawah JKM dan daripada jumlah itu sebanyak 2,167 buah taska dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),”katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya