SEPANG: Sebanyak 10 keluarga di Taman Desa Merpati dan kawasan sekitar menerima bantuan bakul makanan dalam Op Bantu yang disampaikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kepada individu yang terputus bekalan makanan berikutan penularan Covid-19 dalam negara.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sebanyak 300 bakul makanan juga akan diserahkan kepada penerima terpilih berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ketua balai polis, ketua kampung serta hasil rondaan anggota polis di bawah IPD Sepang.
“Kami akan pastikan dalam minggu ini, pengagihan 300 pek kepada masyarakat yang terkesan dapat diselesaikan.
“Jika jumlah pemohon melebihi 300, kami akan tetap bantu mereka dengan menyampaikan sumbangan yang diserahkan oleh syarikat dan individu kepada kami untuk diagihkan kepada yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas turun padang menyampaikan bantuan di Taman Desa Merpati di sini hari ini.
Wan Kamarul Azran menyifatkan tugasan pengagihan bantuan itu sama sekali tidak mengganggu tugas hakiki sebagai pihak berkuasa sebaliknya menganggap ia tugasan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
“Di bawah IPD Sepang ini, selain penugasan anggota di lapangan termasuk di lapan sekatan jalan raya, SJR Op Benteng dan juga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar, memberi sumbangan kepada masyarakat juga adalah sesuatu penugasan yang relevan,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Norli Muhammad Sarip, 50, berkata, bantuan barangan keperluan asas yang disampaikan menerusi Op Bantu itu dapat meringankan beban keluarganya.
“Dapatlah saya berjimat sikit dengan bantuan yang diterima ini. Walaupun suami bekerja, namun pendapatannyan sebagai pemandu lori terjejas kerana bila ada penghantaran barang, baru dia ada gaji,” katanya.- UTUSAN ONLINE










