Video Opah tingkat jualan dodol - Utusan Malaysia

Video Opah tingkat jualan dodol

SAERAH Abdul Majid, 78, memanfaatkan platform media sosial memasarkan dodol jualannya menerusi rakaman video yang dibuatnya sehingga menjadi tular. -UTUSAN/ MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akibat Covid-19 memberi kesan teruk kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Untuk itu, ada yang mencari pelbagai jalan untuk memastikan produk mereka terjual berikutan kekurangan permintaan terutama sejak PKP 3.0 dilaksanakan 1 Jun lalu.

Bagi pengusaha dodol di sini, seorang wanita warga emas, Saerah Abdul Majid, 78, atau lebih dikenali Opah Yang, kerugian perniagaan yang pernah dialaminya semasa PKP 1.0 awal tahun lalu cukup memberi kesan dan dia tidak mahu perkara sama berulang.

“Semasa PKP sebelum ini, kami tak berniaga sebab tak tahu, sehinggakan kelapa untuk buat dodol bercambah, saya termenung fikir apa yang perlu dilakukan.

“Lepas itu anak beritahu kena jual secara online dan mereka minta saya berlakon dalam video untuk jual dodol.

“Alhamdulillah hasil promosi menerusi video, jualan bertambah, seronok sangat rasanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Empai, Teluk Sareh di sini semalam.

Saerah berkata, untuk rakaman video, pada mulanya dia rasa gementar dan gugup namun perasaan itu hilang selepas dia mula bercakap di depan kamera.

“Menggeletar juga rasanya pada masa itu, maklumlah sudah tua baru tengok kamera, tapi Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW), Nordin Abdul Malek beri idea dan ajarkan.

“Saya berharap wabak Covid-19 dapat diatasi, rindu suasana orang ramai singgah di kedai beli dodol dan jualan kami pun banyak masa itu,” katanya.

Katanya, strategi promosi menggunakan video membantu meningkatkan jualan walaupun permintaan masih kurang disebabkan jualan tidak boleh dihantar ke luar daerah disebabkan PKP.

Sementara itu anaknya, Normi Ramli, 50, pada awalnya mempromosikan produk dengan cara memuat naik gambar produk yang mereka jual di media sosial namun sambutan tidak menggalakkan termasuklah di platform Shopee.

Katanya, Nordin banyak membantu perniagaan mereka, mencadangkan supaya pemasaran dibuat menerusi rakaman video.

“Kami buat video emak berlakon untuk jual produk secara dalam talian di platform ordar.my yang sekarang video itu menjadi tular,” katanya.

Normi berkata, sejak video berkenaan dikongsi ramai, perniagaan mereka kembali menerima permintaan lebih-lebih lagi di Shopee selain turut menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp.

“Alhamdulillah kami boleh senyum semula. Saya perasan kalau nak pasarkan produk di media sosial kita harus kreatif, pelanggan mahukan sesuatu yang menarik minat mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya