IPOH: Demi mengelak daripada dicekup polis, tiga kaki judi nekad terjun dari tingkat tiga sebuah rumah kedai di Kampung Simee di sini semalam.
Tindakan tiga lelaki itu bagaimanapun membawa padah apabila masing-masing cedera iaitu patah di beberapa bahagian badan termasuk pinggang dan tulang rusuk.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, tiga lelaki itu ditahan bersama lapan lelaki lain dalam serbuan oleh pegawai dan anggota Balai Polis Sungai Senam pada pukul 4.15 petang.
Katanya, ketika serbuan dijalankan, kesemua lelaki berusia antara 41 hingga 66 tahun itu sedang leka bermain judi jenis Jim Rami batu.
“Terkejut dengan kehadiran polis, tiga lelaki cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga namun mengalami kecederaan dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.
“Seorang daripada lelaki itu patah pergelangan tangan, bahu dan pinggang manakala dua lagi lelaki masing-masing patah kedua-dua kaki dan patah tulang rusuk serta tangan kiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.
Menurut A. Asmadi, siasatan mendapati, premis tersebut disewa oleh seorang daripada tangkapan sejak empat bulan lalu kononnya sebagai tempat berehat dengan kadar sewa bulanan RM400.
Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada premis itu juga digunakan sebagai lokasi untuk aktiviti tidak bermoral lain.
“Dalam serbuan itu, kita merampas dua buah meja Jim Rami, 114 batu Jim Rami, dua biji dadu, 119 biji token dan tujuh kerusi.
“Modus operandi mendapati mereka menggunakan token dalam permainan itu sebelum ditukar dalam bentuk wang tunai,” katanya.
Tambah beliau, kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada 10 lelaki manakala pemilik premis pula dikompaun RM25,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Kesemua lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis sehingga laporan pakar judi diperolehi. Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – UTUSAN ONLINE










