PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim menggesa kerajaan supaya bersikap telus dengan perjanjian perolehan vaksin Covid-19.
Beliau berkata, jika kerajaan bersikap lebih terbuka, ia dapat mengurangkan keraguan bahawa perolehan vaksin dikuasai secara monopoli.
“Kekurangan ketelusan terhadap perjanjian vaksin menimbulkan kesangsian berhubung bekalan yang dikuasai untuk mewujudkan monopoli dan harga yang sangat tinggi.
“Ini sebabnya kerajaan perlu mendedahkan perjanjian yang ditandatangani dengan pengeluar,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga tidak perlu meletakkan syarat bahawa perolehan vaksin mesti mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sedangkan pembelinya adalah kerajaan negeri dan hospital swasta yang sudah mempunyai lesen untuk menyediakan penjagaan kesihatan.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan kawal selia terkemuka dunia seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta Agensi Perubatan Eropah (EMA) sudah meluluskan beberapa vaksin, termasuk yang dihasilkan Moderna, Sinopharm dan Johnson & Johnson untuk kegunaan kecemasan.
“Nilai tambah apa yang akan diberikan oleh kelulusan NPRA? Kenapa perlu membabitkan NPRA untuk kelulusan tambah baki jenama (vaksin) sedangkan WHO sudah meluluskannya dalam keadaan kecemasan?” soalnya.
Zaid juga bimbang dengan polisi kerajaan yang hanya mengutamakan vaksin untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana ia bukan sahaja seolah-olah kerajaan tidak mahu bersaing untuk mendapatkan bekalan vaksin, malah boleh menimbulkan keraguan.
Katanya, persoalan juga timbul sama ada kerajaan negeri dan sektor swasta akan dibenarkan berunding secara bebas dan menempah vaksin terus daripada pengeluar atau mereka perlu melakukannya melalui Pharmaniaga.
“Jika semua jenama vaksin sudah diluluskan NPRA, adakah kerajaan akan meluluskan pengimportan vaksin oleh syarikat swasta secara komersial Kerajaan tidak patut monopoli atau mengawal bekalan vaksin ini apabila sektor swasta boleh membelinya secara komersial untuk mereka yang sedia membayar.
“Kerajaan boleh memfokuskan peranannya untuk memastikan golongan B40 dan mereka yang tidak mampu membayar divaksinkan. Dengan berbuat demikian, kadar vaksinasi boleh dipercepatkan,” katanya.
Zaid turut meluahkan rasa hairan mengapa kerajaan hanya memperoleh tiga jenama vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.
“Jika vaksin lebih berkesan muncul dan sektor swasta mampu mendapatkan bekalannya, adakah kerajaan sedia menghalang dirinya atau adakah akan ada satu lagi pusingan U?” soalnya.- UTUSAN ONLINE