Tahanan mati di lokap cuba larikan diri - Utusan Malaysia

Tahanan mati di lokap cuba larikan diri

ARJUNAIDI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang tahanan yang mati di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan disebabkan cuba melarikan diri dengan terjun daripada tingkap petang semalam.

Suspek Umar Faruq Abdullah, 36, yang ditahan susulan terlibat dengan kes mencuri tong gas mengalami keretakan pada bahagian tempurung kepala dan muka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek ditahan kelmarin dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes mencuri tong gas. 

Menurut Arjunaidi, suspek yang diiringi pegawai penyiasat kes berpangkat sarjan dibawa ke lokap di IPD Klang Selatan untuk diambil keterangan.

“Namun semasa tahanan menuruni tangga dari tingkat dua ke tingkat satu, dia telah bertindak menolak pegawai penyiasat terbabit dan cuba melarikan ke arah tingkap terbuka di tangga tersebut.

“Dia kemudiannya terjun namun telah jatuh di luar konkrit pemisah antara tingkat satu dan dua sebelum terjatuh ke atas sebuah motosikal di kawasan parkir. 

“Ekoran kejadian, tahanan telah mengalami kecederaan iaitu retak pada bahagian tempurung kepala dan mukanya. Laporan penuh terhadap tahanan ini akan diterima selepas melakukan bedah siasat petang ini sejurus ujian saringan Covid-19 dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, siasatan pihaknya mendapati tahanan yang beralamat di Kampung Jawa, Klang telah berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Siasatan mendapati tahanan terbabit mempunyai lapan rekod jenayah lampau. Setakat ini, siasatan masih diteruskan dan memfokuskan kepada pelbagai faktor termasuk kecuaian, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan  duty of care .

“Pegawai penyiasat ini juga telah ditukarkan serta-merta dan kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan. Selain itu, kes juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN